WILAYAH - TIMUR > BERITA

45 KES ORANG HILANG DI PAHANG SELESAI, EMPAT LAGI MASIH BELUM

12/11/2024 12:23 PM

KUANTAN, 12 Nov (Bernama) -- Polis Pahang berjaya menyelesaikan 45 daripada 49 kes orang hilang yang dilaporkan di seluruh negeri ini sepanjang Januari hingga Oktober tahun ini, kata Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman.

Beliau berkata empat individu yang masih belum dijumpai melibatkan seorang wanita berusia 21 tahun dan tiga lelaki berusia 24, 27, dan 67 tahun.

"Kes paling lama membabitkan Muhamad Shuqkrie, 24, seorang Orang Kurang Upaya yang dilaporkan hilang dari Kampung Salang, Tioman sejak 8 Sept lepas.

"Kes kedua, Buyong Gain, 67, dilaporkan hilang dari Kampung Jemeri, Kuala Rompin sejak 15 Sept," katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang di sini hari ini.

Yahaya turut menjelaskan bahawa dua kes kehilangan lain melibatkan C. Kamal, 27, dari Kampung Kedaik, Kuala Rompin yang hilang sejak 14 Okt lepas dan J. Lessha, 21, yang kali terakhir dilihat menjalani latihan praktikal di Sekolah Kebangsaan Jerantut pada 15 Okt lepas.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes tersebut supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan