WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PEMBANTU PENGUASA KASTAM DITUDUH TERIMA RM900, LEPASKAN UBAT PENUMPANG DI KLIA

12/11/2024 02:31 PM

SEPANG, 12 Nov (Bernama) -- Seorang Pembantu Penguasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan menerima ganjaran berjumlah RM900 bagi melepaskan ubatan-ubatan milik sembilan penumpang warga Bangladesh.

Kufariz Iskandar Zulfkifli, 30, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman.

Lelaki itu didakwa melakukan kesalahan terbabit sewaktu melakukan pemeriksaan bagasi di Cawangan Pemeriksaan Penumpang JKDM, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 pada kira-kira 1.30 tengah hari, 14 Nov tahun lepas.

Dia dituduh di bawah Seksyen 137 (1)(b) Akta Kastam 1967 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 137 (1) akta sama dan jika disabit kesalahan boleh dipenjarakan hingga lima tahun atau didenda tidak melebihi RM500,000 atau kedua-duaya sekali serta ditahan daripada memegang jawatan dalam perkhidmatan awam. 

Timbalan Pendakwa Raya Nurul Akhilah Rosmi mencadangkan jaminan berjumlah RM10,000 serta syarat tambahan tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Kufariz Iskandar yang tidak diwakili peguam memohon jaminan lebih rendah kerana perlu menanggung anak yang masih kecil, adik-beradik lain dan ibu yang tidak bekerja.

Mahkamah membenarkan jaminan RM7,000 dan syarat tambahan yang dikemukakan pihak pendakwaan.

Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 16 Dis ini dan tertuduh dinasihat agar melantik peguam.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan