WILAYAH - TENGAH > BERITA

BERITA-BERITA RINGKAS DEWAN RAKYAT: 12 NOV

12/11/2024 03:08 PM

HAMPIR RM135 JUTA DISALUR KEPADA PDK

KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) -- Kerajaan telah menyalurkan bantuan kewangan berjumlah RM134.7 juta setakat September lepas bagi menyokong operasi program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK), kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.

Beliau berkata bantuan tersebut memberi manfaat kepada hampir 20,000 Orang Kurang Upaya (OKU), 573 penyelia, dan 2,773 petugas di PDK di seluruh negara.

Nancy berkata kementerian juga telah menggiatkan usaha meningkatkan peluang dan ruang bagi ibu bapa yang mempunyai anak OKU mendaftar kemasukan anak mereka ke program PDK untuk mendapat pemulihan sewajarnya.

Beliau menjawab soalan Rodziah Ismail (PH-Ampang) mengenai hala tuju dan pelan tindakan program PDK demi menyelesaikan pelbagai isu terutama kesedaran dan penerimaan masyarakat, kekurangan sumber seperti kewangan, tenaga kerja dan kelengkapan infrastruktur pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

-- BERNAMA

 

KPWKM KELUARKAN 23 TINDAKAN LAK, PENUTUPAN SEMENTARA KE ATAS TASKA DALAM SIASATAN POLIS

KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat (KPWKM) mengeluarkan 23 tindakan penguatkuasaan menerusi Garis Panduan Khas Tindakan Penguatkuasaan Lak dan Perintah Penutupan ke atas taska serta pusat jagaan yang sedang disiasat polis, setakat September lepas.

Timbalan Menteri berkenaan Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, berkata daripada jumlah itu, 14 tindakan lak ke atas taska tidak berdaftar telah dikeluarkan, manakala selebihnya adalah tindakan perintah penutupan sementara ke atas taska berdaftar.

 “Tiga daripada jumlah itu berkaitan kes kematian, manakala 20 kes berhubung aduan penderaan,” katanya menjawab soalan Sabri Azit (PN-Jerai) mengenai statistik kes penderaan bayi di taman asuhan di seluruh negara selain langkah pengawalan agar kejadian penderaan tidak berulang pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

-- BERNAMA

 

KERAJAAN TELITI CADANGAN PINDAAN AKTA PROFESION UNDANG-UNDANG

KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) -- Kerajaan sedang meneliti cadangan untuk meminda Akta Profesion Undang-Undang 1976 (Akta 166) bagi membolehkan Ketua Audit Negara melaksanakan audit setiap tahun terhadap akaun Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M. Kulasegaran, berkata cadangan pindaan itu akan diangkat kepada Jemaah Menteri untuk pertimbangan dalam masa terdekat.

Beliau menjawab soalan Teresa Kok Suh Sim (PH-Seputeh) mengenai sama ada Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang diaudit oleh mana-mana pihak pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

-- BERNAMA

 

AGENSI NUKLEAR MALAYSIA KAJI VARIETI BAHARU RUMPUT NAPIER

KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) -- Agensi Nuklear Malaysia sedang giat menjalankan penyelidikan penghasilan varieti baharu rumput napier bersama Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) bagi meningkatkan kandungan nutrien dalam tanaman untuk dijadikan makanan haiwan.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang berkata ketika ini, agensi itu sedang menjalankan kajian biak baka mutasi untuk rumput napier bagi mendapatkan tanaman dengan biojisim lebih tinggi dan juga kandungan nutrisi lebih baik.

Beliau berkata penggunaan teknologi itu bersama teknik-teknik lain boleh dijadikan alternatif makanan yang lebih sihat dan berpotensi ke arah mengurangkan masalah sumber makanan haiwan di masa depan.

Chang menjawab soalan Tan Kar Hing (PH-Gopeng) mengenai sejauh mana bioteknologi digunakan bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan untuk meningkatkan kandungan nutrisi makanan haiwan yang berasal daripada tumbuhan pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan