WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MELAKA BAKAL LANCAR PPDR 2035 SEBAGAI RUJUKAN PACU PEMBANGUNAN NEGERI

12/11/2024 06:57 PM

MELAKA, 12 Nov (Bernama) -- Kerajaan Melaka akan melancarkan Pelan Pembangunan Data Raya (PPDR) 2035 sebagai rujukan dan perkongsian data antara sektor awam di peringkat negeri dan Persekutuan.

Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan berkata PPDR 2035 yang dibangunkan dengan kerjasama Institut Tun Perak (ITP) dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) berkenaan akan dilancarkan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh pada Disember ini.

Beliau berkata PPDR 2035 penting kerana data yang diperoleh membantu kerajaan atau agensi terlibat terutama Unit Perancang Ekonomi Negeri merangka pembangunan negeri daripada pelbagai aspek termasuk fizikal, dan ekonomi secara lebih tersusun dan mampan selain memastikan Melaka terus berada di barisan hadapan dalam revolusi data raya.

“PPDR 2035  telah siap dan hanya menunggu hari pelancarannya… Melaka satu-satunya negeri yang mempunyai buku atau pelan panduan ini untuk perancangan pembangunan negeri bagi memastikan sesuatu pembangunan itu benar-benar diperlukan, sekali gus menyelesaikan masalah setempat.

“Pelan berkenaan akan dilancarkan, kerana ketika ini apabila kita ingin mendapatkan data daripada agensi-agensi lain untuk rujukan bagi hal tertentu, mereka terikat dengan peraturan dan undang-undang berkaitan perkongsian data pelanggan mereka,”katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Seminar Melaka Intelligence Centre 2024: Menjalin Kolaborasi Kerajaan, Akademia dan Industri yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif ITP Prof Madya Dr Mohamad Ainuddin Iskandar Lee Abdullah.

Fairul Nizam berkata data yang dibukukan dalam pelan berkenaan adalah mematuhi undang-undang seperti Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709) dan Akta Rahsia Rasmi 1972.

Beliau berkata PPDR 2035 turut menggariskan strategi penting dalam memperkukuh infrastruktur digital, memperluas penggunaan kecerdasan buatan (AI), dan memastikan setiap sektor dapat memanfaatkan teknologi data raya secara optimum untuk pembangunan negeri yang mampan. 

Fairul Nizam berkata pelan berkenaan akan membantu Melaka meningkatkan keupayaan dalam bidang data, sekali gus menjadi sebuah negeri yang lebih pintar dan bersedia menghadapi cabaran masa depan.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan