WILAYAH - SARAWAK > BERITA

OP KHAS MOTOSIKAL: JPJ SELANGOR KELUARKAN LEBIH 3,800 NOTIS

13/11/2024 08:48 AM

KUALA LUMPUR, 13 Nov (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor mengeluarkan sebanyak 3,855 notis atas pelbagai kesalahan dalam Operasi Khas Motosikal bagi tempoh 12 hari sejak operasi itu dilancarkan 1 Nov lepas.

Pengarah JPJ Selangor Azrin Borhan berkata kesalahan paling banyak direkodkan melibatkan isu teknikal kenderaan dengan 1,644 notis, diikuti kesalahan tiada cukai jalan (983), tiada lesen memandu (737), nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi (302) dan selebihnya membabitkan pelbagai kesalahan lain.

"Notis ini dikeluarkan selepas kita melakukan pemeriksaan terhadap 19,362 motosikal dan kesalahan utama direkodkan membabitkan isu teknikal kenderaan seperti ubah suai ekzos, lampu dan beberapa komponen lain dengan alasan kononnya menunjukkan 'kecantikan' motosikal kepada rakan-rakan.

"Kita percaya antara faktor ubah suai kenderaan ini ialah pengaruh rakan-rakan selain untuk menambah kelajuan," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Op Khas Motosikal di Plaza Tol Petaling Jaya arah selatan, Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) malam tadi.

Azrin berkata dalam operasi terbabit, sebanyak 325 pegawai dan anggota bersama beberapa agensi berkaitan seperti Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Polis Diraja Malaysia dan syarikat konsesi lebuh raya menjalankan pemeriksaan di 286 lokasi di sekitar Selangor.

Mengulas lanjut, Azrin berkata pada Op Khas Motosikal malam tadi, sebanyak 631 motosikal diperiksa dengan 295 notis dikeluarkan atas pelbagai kesalahan, lima motosikal disita dan lima individu yang didapati positif methamphetamin ditahan AADK.

Bermula 1 Nov lepas, JPJ melaksanakan Operasi Khas Motosikal Tahun 2024 selama dua bulan hingga 31 Dis ini di seluruh negara bagi meminimumkan kadar kemalangan dan kematian akibat nahas jalan raya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan