MELAKA, 15 Nov (Bernama) -- Penubuhan Koridor Utiliti Melaka (KUM) dijangka akan melancarkan lagi proses pemetaan pengesanan bawah tanah (UDM) dalam usaha mempertingkatkan akses telekomunikasi dan memacu pembangunan ekonomi negeri Melaka.
Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata penubuhan KUM adalah rentetan kepada dua fungsi Bahagian Koridor Infrastruktur dan Impak Sosial (BKI) sedia ada iaitu elektrik dan air sebagai ‘titik masuk pertama’ bagi permohonan UDM.
"Saya percaya usaha yang bermula pada 1 Jan 2025 ini akan memberi impak positif kepada pembangunan kerajaan negeri, sekali gus menyelaras sistem utiliti dan infrastruktur yang lebih baik dan tersusun.
"Di bawah KUM ini, tiga skop baharu akan dilaksanakan iaitu Rangkaian Fiber Optik Akses Terbuka, Tiang Gentian Optik Bersepadu dan Guna Sama dan Terowong Utiliti Bersepadu (DURC)," katanya pada sidang media selepas menyaksikan Perjanjian Penubuhan Koridor Utiliti Melaka yang ditandatangani di antara Kerajaan Negeri Melaka dan Koridor Utiliti Melaka Sdn Bhd di Seri Negeri di sini hari ini.
Perjanjian berkenaan ditandatangani oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Azhar Arshad bagi pihak kerajaan negeri manakala KUM Sdn Bhd diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya Ismael Hamdan.
Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata menerusi cadangan itu, tempoh perjanjian yang dipersetujui adalah selama 10 tahun dan tambahan lima tahun untuk dipertimbangkan lanjutan kontrak.
"Kerajaan negeri juga telah bersetuju bahawa empat konsesi yang mendapat tawaran dan menandatangani perjanjian dengan kerajaan negeri Melaka akan terus terpelihara dengan konsesi ini akan diletakkan di bawah KUM," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial