WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SELANGOR SEDIAKAN RM1.185 JUTA PERKASA PROGRAM PEMBANGUNAN PENDIDIKAN KAUM INDIA

15/11/2024 07:49 PM

SHAH ALAM, 15 Nov (Bernama) -- Kerajaan Negeri Selangor memperuntukkan sebanyak RM1.185 juta bagi pelaksanaan dua program utama bawah inisiatif memperkasakan Pembangunan Pendidikan Masyarakat India tahun depan.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata di bawah program Sumbangan Subsidi Tambang Bas Sekolah, pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) daripada keluarga dengan isi rumah berpendapatan di bawah RM2,000 akan menerima sumbangan tunai RM300 setiap orang setahun.

Beliau berkata pelajar India kategori B40 yang berjaya melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) pula akan terus dibantu melalui Program Bantuan Yuran Pengajian Pelajar India B40.

“Di bawah program ini, bantuan hingga RM5,000 bagi jurusan Ijazah Sarjana Muda dan RM3,000 bagi jurusan Diploma diberikan secara sekali beri kepada setiap pelajar sepanjang tempoh pengajian dan disalurkan terus kepada bendahari IPTA dan IPTS terlibat,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2025 di Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Bagi meraikan kepelbagaian agama di Selangor, Amirudin berkata kerajaan negeri memperuntukkan RM4 juta di bawah Jawatankuasa Khas Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Negeri Selangor (LIMAS) bagi 2025.

“Peruntukan bagi rumah ibadat selain Islam adalah bersifat sumbangan sebagai bukti keprihatinan kerajaan negeri dan boleh digunakan bagi perkara seperti baik pulih rumah ibadat sedia ada, pendidikan keagamaan yang dijalankan di rumah ibadat tersebut serta pembelian peralatan bagi tujuan mengadakan kelas agama.

“Terbaru, peruntukan ini turut diperluas kepada Persatuan-persatuan Perkuburan Cina bagi sumbangan di bawah kategori aktiviti keagamaan berbentuk perayaan yang boleh dimohon secara dwitahunan,” katanya. 

Bertemakan 'Selangor Dinamik: Cita Sempurna Malaysia MADANI', Belanjawan Selangor 2025 memperuntukkan sebanyak RM3 bilion bagi melaksanakan perbelanjaan mengurus dan meneruskan pembangunan negeri untuk tahun hadapan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan