WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MNZFTA : SEKTOR DIGITAL, HALAL ANTARA POTENSI KERJASAMA PERDAGANGAN MALAYSIA, NEW ZEALAND

15/11/2024 08:35 PM

LIMA (Peru), 15 Nov (Bernama) -- Kajian skop bagi memperkukuh Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-New Zealand (MNZFTA), bakal meliputi bidang kerjasama baharu seperti perdagangan digital dan pengiktirafan halal, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau yang kini di Peru bagi mengiringi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) ke-31, telah bertemu dengan Menteri Perdagangan New Zealand Todd McClay bagi membincangkan peluang memperkukuh hubungan ekonomi antara kedua-dua negara.

Dalam catatan di platform X beliau pada Jumaat, Tengku Zafrul yakin kerjasama erat kedua-dua negara itu akan membuka peluang baharu untuk rakyat masing-masing selain memperkukuh daya saing ekonomi serantau.

“Menerusi hubungan perdagangan dua hala yang kukuh, New Zealand juga merupakan rakan dagang kedua terbesar Malaysia di rantau Australasia dengan nilai perdagangan mencecah US$2.54 bilion pada 2023,” katanya.

Tengku Zafrul berkata Malaysia dan New Zealand turut menyasarkan peningkatan sebanyak 50 peratus dalam perdagangan dua hala menjelang 2030, terutama dalam sektor pembuatan bernilai tinggi dan ekonomi digital.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan