KUALA LUMPUR, 15 Nov (Bernama) -- Kerajaan Azerbaijan telah membelanjakan AZN19 bilion (US$12 bilion) bagi kerja-kerja pembinaan semula wilayah yang dibebaskan di negara itu.
Duta Azerbaijan ke Malaysia Irfan Davudov berkata ini termasuk dalam membina semula bandar dan kampung, membina jalan raya, jambatan, terowong, dan lapangan terbang, serta memulihkan monumen yang musnah akibat hampir 30 tahun pendudukan Armenia.
Bercakap pada ulang tahun ke-4 kemenangan Azerbaijan dalam Perang Karabakh Kedua pada satu acara baru-baru ini, duta itu menyatakan bahawa kerajaan Azerbaijan sedang membangunkan potensi tenaga hidro, solar dan angin untuk memastikan bekalan tenaga mampan di wilayah itu, yang telah ditetapkan oleh Presiden Ilham Aliyev sebagai “Zon Tenaga Hijau.”
Sektor pertanian, penyumbang utama kepada ekonomi berasaskan minyak dan gas Azerbaijan, juga sedang digiatkan semula bersama-sama dengan sektor industri dan pelancongan.
Kerajaan meneruskan usaha membersihkan kawasan daripada kira-kira 1.5 juta periuk api yang ditinggalkan oleh Armenia semasa pendudukan.
“Kemenangan luar biasa Azerbaijan ini telah menamatkan hampir 30 tahun campur tangan dan pendudukan asing. Ia telah memastikan integriti wilayah negara kita dan mewujudkan syarat yang diperlukan untuk kepulangan rakyat kami yang kehilangan tempat tinggal ke tanah nenek moyang mereka,” katanya, sambil menambah bahawa ribuan orang pelarian dalam negara (IDP) telah kembali ke rumah mereka sejak itu.
Davudov berkata Armenia telah terus menduduki wilayah Azerbaijan selama 27 tahun walaupun terdapat resolusi berulang kali daripada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang menyerunya untuk berundur tanpa syarat, sehingga Perang Karabakh Kedua pada Sept 2020 dan “operasi antikeganasan” pada 2023 yang menamatkan sepenuhnya pendudukan itu.
Perang 44 hari itu berakhir dengan Perjanjian Tiga Hala yang ditandatangani antara Armenia, Azerbaijan dan Rusia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial