KOTA KINABALU, 15 Nov (Bernama) -- Kerajaan Sabah menyerahkan kepada Kerajaan Persekutuan dan Wisma Putra dalam usaha mendepani serta mengambil tindakan lanjut mengenai isu dua akta maritim baharu Filipina yang melanggar sempadan maritim negeri ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata kerajaan negeri telah dimaklumkan bahawa Malaysia telah menghantar nota bantahan kepada Filipina berkenaan perkara tersebut.
“Memang kita akan berpandukan sempadan negara kita, tetapi kalau saya tengok peta itu ada masuk sikit sempadan kita.
“Kita harap dapat diselesaikan secara baik kerana Filipina negara jiran, kita tangani secara baik dan berhemah sebagai satu keluarga ASEAN,” katanya kepada pemberita di luar Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah di sini hari ini.
Semalam, Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin dilaporkan berkata Malaysia menghantar nota bantahan kepada Filipina berkaitan dua akta maritim baharu negara itu yang melanggar sempadan maritim Sabah.
Beliau berkata Akta Zon Maritim Filipina (Philippine Maritime Zones Act) dan Akta Laluan Laut Kepulauan Filipina (Philippine Archipelagic Sea Lanes Act) yang ditandatangani Presiden Ferdinand Marcos Jr pada 8 Nov lepas disahkan melangkaui Peta Baharu Malaysia 1979 yang dibuat berdasarkan undang-undang antarabangsa.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial