WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KPKT PERGIAT USAHA TAMBAH BAIK SISTEM PENGURUSAN KREDIT KOMUNITI

15/11/2024 11:32 PM

KUALA LUMPUR, 15 Nov (Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang giat menambah baik sistem pengurusan kredit komuniti bagi memastikan ia berada pada tahap terkini dan memenuhi keperluan semasa industri. 

Menteri berkenaan Nga Kor Ming berkata sistem itu akan digunakan secara komprehensif bukan sahaja daripada aspek pengurusan rejim pelesenan malah merangkumi perlindungan insurans kepada peminjam.

“Pihak industri perlu menyambut baik inisiatif kerajaan ini dengan membangunkan imej korporat syarikat yang positif bagi meningkatkan keyakinan pasaran terhadap industri kredit komuniti selain sentiasa mematuhi Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 dan Akta Pemegang Pajak Gadai 1972 serta peraturan berkaitan.

“Selain itu, pihak industri perlu mengadaptasi inovasi baharu yang mampu meningkatkan kemampanan perniagaan dan daya saing terhadap perubahan serta melaksanakan tanggungjawab sosial korporat sebagai sumbangan kepada komuniti melalui pelaksanaan program dan inisiatif yang memberi impak positif kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Kredit MADANI 2024 (AKM) yang julung kali diadakan di sini malam ini.

Nga berkata bagi memastikan industri syarikat Pemberi Pinjam Wang (PPW) dan Pemegang Pajak Gadai (PPG) kekal relevan dan berevolusi seiring keperluan semasa, pihaknya sedang melaksanakan proses pendigitalan pengurusan pelesenan. 

Beliau berkata KPKT turut mengeluarkan Garis Panduan Pemberian Pinjaman Wang Dalam Talian sebagai panduan kepada pemegang lesen, pihak berkuasa tempatan dan pihak berkepentingan dalam urus niaga pinjaman wang dalam talian.

“Setakat 30 Sept, KPKT  telah memberikan kelulusan untuk menjalankan pinjaman wang dalam talian kepada 44 pemegang lesen PPW,” katanya. 

Nga juga berkata AKM bertujuan mengiktiraf syarikat pemegang lesen PPW dan PPG atas inisiatif serta usaha pemain industri dalam memastikan kepatuhan terhadap akta dan peraturan berkaitan.

“Kementerian telah menerima 264 penyertaan bagi 14 kategori kecemerlangan daripada 66 syarikat PPW dan PPG.

“Kategori yang terbabit merangkumi aspek kecemerlangan dalam melaksanakan inovasi, tanggungjawab sosial dan kemampanan serta daya saing,“ katanya.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan