Daripada M. Saraswathi
LIMA (Peru), 16 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau telah menyatakan kesediaan kerajaan untuk bekerjasama dan membantu Pejabat Ekonomi dan Perdagangan Hong Kong (HKETO) di Kuala Lumpur selepas penubuhannya diumumkan Hong Kong pada awal tahun ini.
“Ini sekali gus mengeratkan lagi hubungan dan kerjasama antara Malaysia dan Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong (HKSAR),” kata beliau kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Ketua Eksekutif HKSAR John Lee Ka-chiu di sini pada Jumaat.
Pada pertemuan itu, Anwar berkata perbincangan meliputi menilai kerjasama dalam bidang pelaburan, perdagangan, pendidikan, pelancongan, semikonduktor, teknologi maklumat, khidmat kewangan dan hubungan sesama rakyat.
“Hong Kong turut menjemput Malaysia untuk mempelajari teknologi pengangkutan dan menyertai projek pembangunan hab Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) termasuk Taman Sains yang diterajui oleh mereka,” kata beliau.
Turut hadir pada pertemuan itu ialah Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dan Duta Besar Malaysia ke Peru Ahmad Irham Ikmal Hisham.
Anwar kini berada dalam rangka lawatan rasmi ke Lima, Peru dan menghadiri Minggu Pemimpin Ekonomi APEC (AELW) ke-31 yang berlangsung dari 14 hingga 16 November.
Pada Februari lepas, Kementerian Luar berkata pembukaan HKETO di Kuala Lumpur mencerminkan usaha berterusan untuk mengukuhkan lagi hubungan ekonomi dan perdagangan antara HKSAR dan Malaysia.
Keputusan itu adalah susulan daripada cadangan Anwar kepada John Lee semasa mesyuarat dua hala di Putrajaya pada Julai 2023.
“Terletak di lokasi strategik di Asia Tenggara, Malaysia akan terus memperluas dan memperkukuh kedudukannya sebagai rakan penting Hong Kong dalam bidang perdagangan, pelaburan dan kerjasama ekonomi yang sedia ada antara kedua-dua pihak,” menurut Kementerian Luar.
Kekuatan dan keakraban hubungan ini jelas diperlihatkan daripada nilai dagangan antara kedua-dua pihak. Pada 2023, Malaysia dan Hong Kong melaporkan jumlah perdagangan RM105.09 bilion (US$23.03 bilion) – jumlah eksport direkod pada RM89.84 bilion (US$19.69 bilion) manakala jumlah import bernilai RM15.25 bilion (US$3.34 bilion), dengan imbangan perdagangan memihak kepada Malaysia.
Pertukaran lawatan peringkat tinggi antara kedua-dua pihak adalah aktif dan amat baik.
“Pembukaan HKETO yang baharu di Kuala Lumpur bukan sahaja mencerminkan lembaran baharu dalam hubungan Malaysia-Hong Kong tetapi juga menjadikan Ulang Tahun Ke-50 Hubungan Diplomatik Malaysia-China lebih bermakna,” menurut Kementerian Luar.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial