WILAYAH - SARAWAK > BERITA

EXIM BANK MALAYSIA, CHINA EXIM BANK METERAI PERJANJIAN RANGKA KERJA PERKUKUH PERDAGANGAN DUA HALA

16/11/2024 12:40 PM

KUALA LUMPUR, 16 Nov (Bernama) -- Export-Import Bank of Malaysia Bhd (EXIM Bank Malaysia) dan Export-Import Bank of China (China Exim Bank) menandatangani Perjanjian Rangka Kerja untuk memperkukuh hubungan ekonomi dan perdagangan antara Malaysia dan China.

Pengerusi EXIM Bank Malaysia Datuk Charon Mokhzani berkata perjanjian itu merupakan langkah penting dalam kerjasama berterusannya dengan China Exim Bank.

“Kerjasama ini akan membuka laluan baharu untuk perdagangan dan pelaburan, memberi manfaat kepada kedua-dua negara kita,” katanya dalam kenyataan bersama EXIM Bank Malaysia dan China Exim Bank, pada Sabtu.

Mengikut perjanjian itu, China EXIM Bank akan memberikan kemudahan kredit renminbi untuk ditawarkan kepada syarikat Malaysia yang layak, yang menjalankan aktiviti perniagaan dan perdagangan di China.

Menurut kenyataan itu, kemudahan kredit tersebut bertujuan membiayai pembelian produk mekanikal dan elektronik, set peralatan lengkap, produk dan perkhidmatan berteknologi tinggi dan baharu China.

Kemudahan itu juga akan menyokong kerjasama dalam penerokaan sumber asli dan tenaga, serta projek kontrak pembinaan antara syarikat China dan Malaysia, tambah kenyataan itu.

Kenyataan itu menjelaskan perjanjian tersebut juga terpakai bagi projek dalam bidang seperti perdagangan tenaga, perdagangan bahan mentah, perdagangan produk mekanikal dan elektronik.

Ini untuk memudahkan pertumbuhan perdagangan antara kedua-dua negara, projek kerjasama pasaran pihak ketiga dan projek lain yang dipersetujui bersama, menurutnya.

“Perjanjian ini menumpukan projek tenaga dan infrastruktur termasuk pembiayaan dan pembangunan tenaga bersih, projek kontrak yang melibatkan syarikat China atau Malaysia, serta projek hijau dan nyahkarbon yang dibangunkan oleh syarikat China dan Malaysia,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan