WILAYAH - SARAWAK > BERITA

WARGA EMAS KUALA PILAH DIBERI PENDEDAHAN MENGENAI KESELAMATAN SIBER

16/11/2024 05:26 PM

KUALA PILAH, 16 Nov (Bernama) -- Program keselamatan dan kesedaran Internet peringkat Negeri Sembilan melibatkan warga emas yang dianjurkan baru-baru ini, bertujuan memberi ilmu kepada golongan berkenaan mengenai kepentingan keselamatan siber.

Pengerusi Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Kuala Pilah Mahamad Rasid Siad berkata program anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Negeri Sembilan dan Sukarelawan ICT Malaysia (MIV) itu satu pendekatan baik dalam memberi pendedahan kepada warga emas mengenai pentingnya keselamatan siber dan melindungi data peribadi.

Beliau berkata program berkenaan disertai oleh 45 warga emas terdiri daripada ahli PAWE Kuala Pilah. Antara pengisian yang diatur termasuk ceramah daripada pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenai keselamatan siber.

“Program komuniti seperti ini banyak memberi manfaat kepada masyarakat terutamanya warga emas, sebelum ini saya tahu mengenai MCMC di media dan kaca televisyen tapi kali ini ahli PAWE khususnya dapat mengenali lebih dekat mengenai produk dan perkhidmatan dikendalikan oleh MCMC.

"Alhamdulillah kami bersyukur MCMC dan MIV memilih PAWE Kuala Pilah, biasanya kami terlibat dengan program kerohanian, kesihatan, keagamaan, tetapi pada kali ini ia melibatkan ilmu pengetahuan, kesedaran Internet dan keselamatan kepada warga emas iaitu kumpulan berisiko menjadi mangsa penipuan," katanya kepada Bernama.

Program yang dijayakan dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri, PDRM, komuniti Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) bersama ahli PAWE daerah Kuala Pilah itu bermula 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari.

Turut hadir Pengarah MCMC Negeri Sembilan, Ts Md Tahir Musa, Ketua Bahagian Pembangunan Orang Kurang Upaya (OKU) dan warga emas JKM Negeri M Danamala.

Sementara itu, beberapa peserta yang ditemui menyambut baik penganjuran program keselamatan dan kesedaran Internet berkenaan.

Mahamad Rasid, 70, bersyukur kerana dapat mendengar sendiri penerangan mengenai peningkatan mendadak pelbagai kes melibatkan keselamatan siber terutamanya jenayah di platform digital, penipuan dalam talian dan penyebaran berita palsu yang banyak melibatkan warga emas.

“Usaha MCMC dalam memberi kesedaran dan ilmu melalui pelbagai inisiatif advokasi seperti ini jelas dapat memberi manfaat besar kepada masyarakat, khususnya warga emas,” katanya. 

Bagi Norhani Rahim, 70, program seperti itu dapat memberi kesedaran kepada warga emas agar lebih berhati-hati semasa menggunakan media sosial kerana mereka terdedah dengan sindiket penipuan di platform digital.

"Apabila datang ke program ini dan dengar sendiri ceramah mengenai keselamatan siber, barulah saya faham rupanya banyak taktik digunakan sindiket untuk menipu. Jadi kita perlu berhati-hati dan jangan cepat terpengaruh dengan tawaran lumayan," kata pesara syarikat swasta itu.

Angeline Yew, 62, yang menyertai PAWE sejak dua tahun lepas berpendapat, program tersebut wajar diadakan dengan lebih kerap kerana dapat membantu dan mendidik warga emas mengenai keselamatan asas semasa mengunakan Internet.

Katanya, ilmu yang diberikan oleh setiap penceramah dapat membantunya meningkatkan pengetahuan mengenai cara melindungi data peribadi dan keselamatan maklumat semasa melayari Internet, selain mempelajari bagaimana untuk mendapatkan maklumat dengan mudah di Internet.

“Inisiatif Klik Dengan Bijak dan MIV menerusi MCMC dapat meningkat kesedaran keselamatan dan perlindungan di alam siber. Internet menawarkan pelbagai sumber maklumat, tetapi jika digunakan tanpa pengetahuan dan perlindungan yang betul, ia boleh mengancam keselamatan kita di dunia nyata,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan