WILAYAH - SARAWAK > BERITA

LIAM LANCAR PEK PERMULAAN I-MULA 50 DI SARAWAK

16/11/2024 09:35 PM

KUCHING, 16 Nov (Bernama) -- Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) dan syarikat ahlinya melancarkan Pek Permulaan i-MULA 50 secara rasmi hari ini sebagai sebahagian acara Karnival Celik Kewangan (KCK) Sarawak yang diadakan dari 15 hingga 17 November.

Menurut kenyataan pada Sabtu, LIAM menjelaskan program itu merupakan usaha strategik untuk meluaskan perlindungan insurans hayat dan mengukuhkan daya tahan kewangan dalam kalangan penduduk Sarawak.

“Peruntukan khas RM500,000 telah disediakan secara eksklusif untuk penduduk Sarawak di bawah Dana Pek Permulaan i-MULA 50 berjumlah RM5 juta, (yang akan) tersedia sehingga 30 Jun tahun depan,” tambahnya.

Menurut LIAM peruntukan itu telah disampaikan secara rasmi oleh wakil LIAM kepada Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, dengan sokongan Bank Negara Malaysia (BNM).

Semasa pelancaran itu, Dr Sim memuji langkah LIAM yang memperkenalkan inisiatif itu, menekankan peranan pentingnya dalam meningkatkan kesejahteraan sosial dan daya tahan ekonomi Sarawak.

“Sumbangan RM500,000 ini merupakan langkah strategik ke arah menggalakkan rangkuman kewangan di Sarawak memandangkan dapat memperkasakan penduduk kami untuk mempertimbangkan pelan perlindungan mampu milik di samping menyokong pendidikan insurans.

“Saya menyarankan semua penduduk Sarawak untuk memanfaatkan sepenuhnya Pek Permulaan i-MULA 50 bagi melindungi diri dan keluarga daripada keadaan luar jangka,” katanya.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Pengurusan LIAM Datuk Koh Yaw Hui menyuarakan penghargaan atas kerjasama kerajaan Sarawak dan BNM.

“Sejak pelancaran Dana Pek Permulaan i-MULA 50 berjumlah RM5 juta pada Ogos 2024, kami telah mendapati orang ramai menunjukkan minat yang memberangsangkan.

“Sehingga kini, kami telah mengeluarkan 13,000 polisi bernilai RM640,000, menjadikan RM4.3 juta masih ada. Kami menggalakkan penduduk Sarawak menggunakan dana RM500,000 yang disediakan secara eksklusif untuk negeri ini, serta baki peruntukan nasional,” katanya.

Menurut kenyataan itu, program i-MULA 50 bertujuan memberi peluang kepada pembeli insurans kali pertama untuk mendapatkan perlindungan insurans hayat pada premium bersubsidi.

LIAM memaklumkan subsidi RM50 terpakai bagi 33 pelan insurans mampu milik untuk menyokong individu dan keluarga dengan menampung keperluan bagi perlindungan daripada kematian, hilang upaya menyeluruh dan kekal, penyakit kritikal, perbelanjaan perubatan dan pendapatan hospital.

Premium tahunan adalah antara RM75 hingga RM600, dengan pemegang polisi hanya perlu menyumbang minimum RM25 setahun untuk menerima subsidi itu.

Inisiatif itu, sebahagiannya sempena sambutan ulang tahun ke-50 LIAM, bertujuan mencapai 100,000 pemegang polisi di seluruh negara, terutama belia, keluarga muda dan komuniti yang kurang bernasib baik.

LIAM menjelaskan program itu sejajar dengan misi pihaknya untuk meningkatkan kadar penembusan insurans hayat dan takaful Malaysia, yang mencecah 58.6 peratus pada 2023, menjadikan lebih 40 peratus rakyat Malaysia tidak diinsuranskan.

LIAM, dengan kerjasama BNM dan Rangkaian Pendidikan Kewangan, terus memperjuangkan celik kewangan dan keterangkuman melalui inisiatif capaian seperti KCK, yang penting untuk merapatkan jurang perlindungan dan memupuk pemahaman yang lebih mendalam mengenai produk insurans.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan