WILAYAH - SELATAN > BERITA

REMAJA LELAKI DIKHUATIRI LEMAS DI SUNGAI JERAM BADOH

16/11/2024 10:50 PM

SEGAMAT, 16 Nov (Bernama) -- Seorang remaja lelaki berusia 14 tahun dikhuatiri lemas ketika mandi bersama 19 rakannya di Sungai Jeram Badoh, Buloh Kasap, di sini, semalam. 

Ketua Polis Daerah Segamat Supt Ahmad Zamry Marinsah berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian menimpa mangsa kira-kira 4.30 petang. 

Beliau berkata bertindak atas maklumat, sepasukan polis digerakkan ke lokasi kejadian dan mendapati mangsa datang bersama rakannya dari Felda Palong, Gemas, Negeri Sembilan ke sungai itu untuk bermandi-manda, sebelum dia dilihat hanyut ke tengah sungai akibat arus deras.

“Susulan itu, gerakan mencari dan menyelamat (SAR) dengan kerjasama Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) diaktifkan dengan Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) dibuka di lokasi kejadian bagi menyelaras tindakan serta-merta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Zamry berkata operasi melibatkan 35 anggota polis dan bomba dengan 10 unit aset termasuk empat buah bot.

“Bagaimanapun, tiada sebarang penemuan setakat ini dan kawasan pencarian melalui unit selam JBPM telah memasuki zon kedua dengan jarak 150 meter dari lokasi terakhir mangsa dibawa arus. 

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh menyalurkannya melalui Pusat Kawalan Daerah di talian 07-9324 222,” katanya. 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan