WILAYAH - UTARA > BERITA

OPERASI: JAS P. PINANG KELUAR KOMPAUN RM374,000 SEJAK JANUARI

17/11/2024 11:37 AM

BUTTERWORTH, 17 Nov (Bernama) -- Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengeluarkan 187 kompaun melibatkan pelbagai kesalahan bernilai RM374,000 dalam operasi di Pulau Pinang sejak awal Januari hingga semalam di seluruh negeri berkenaan.

Pengarah JAS Negeri Norazizi Adinan berkata 57 operasi dilaksanakan sepanjang tempoh itu melibatkan pemeriksaan pelepasan asap daripada kenderaan enjin diesel dan enjin petrol, kawalan pelepasan bunyi bising serta gas daripada motosikal.

Beliau berkata selain kompaun, pihaknya turut melaksanakan tindakan penguatkuasaan lain terhadap pemilik kenderaan bermotor yang melakukan kesalahan, antaranya membuka 170 kertas siasatan dan lain-lain lagi.

“Operasi bertujuan meningkatkan penguatkuasaan dan pemeriksaan kenderaan bermotor bagi  memastikan semua kenderaan mematuhi standard pelepasan asap,” katanya kepada pemberita selepas Ops Gerak Kenderaan Bermotor Peringkat Kebangsaan sempena Hari Ozon Sedunia Tahun 2024 di sini malam tadi.

Operasi dijalankan dengan kerjasama polis, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Imigresen Pulau Pinang, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

Norazizi berkata Ops Gerak diadakan di empat lokasi utama di Pulau Pinang iaitu Plaza Tol Sungai Dua (arah selatan), Stesen Penguatkuasa Valdor JPJ, Lebuh Raya Dr Lim Chong Eu berhampiran Seagate dan Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang sejak Rabu lepas hingga malam tadi.

“Ops Gerak memberi tumpuan kepada operasi bunyi bising motosikal dan operasi kenderaan perdagangan.

“Sebanyak 553 kenderaan diperiksa dan 17 kompaun bernilai RM34,000 telah dikeluarkan, notis arahan Seksyen 48A iaitu ujian semula 35 kenderaan dan perintah larangan dikenakan ke atas empat buah kenderaan," katanya.

Beliau berkata selain itu polis mengeluarkan 28 saman pelbagai kesalahan trafik selepas membuat 257 pemeriksaan, JPJ pula mengeluarkan 157 saman dan menyita lima kenderaan, manakala AADK menahan sembilan positif dadah selepas memeriksa 40 individu, dan imigresen memeriksa 28 warga asing, namun tiada tangkapan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan