WILAYAH - SELATAN > BERITA

PUSAT PERNIAGAAN NILAI 3 KIAN SURAM, PERLU DIBERI NAFAS BAHARU

17/11/2024 05:14 PM

Oleh Sarinah Mat Kasim

NILAI, 17 Nov -- Pusat Perniagaan Nilai 3 yang dulunya dianggap ‘syurga’ membeli-belah terutama barangan perkahwinan, perhiasan rumah dan tekstil, kini berdepan cabaran ekonomi semakin mendesak hingga kawasan perniagaan berkenaan kelihatan suram.

Terletak kira-kira 30 kilometer (km) dari bandar Seremban dan 45km dari Kuala Lumpur, pusat perniagaan terbesar di Negeri Sembilan itu sebelum ini sentiasa menjadi tumpuan pengunjung tempatan dan pelancong asing berikutan barangannya dijual pada harga berpatutan.

Tinjauan Bernama mendapati selepas puluhan tahun beroperasi, urusan perniagaan di kawasan berkenaan kurang memberangsangkan biarpun masih terdapat banyak kedai dibuka namun kelihatan lengang tanpa kehadiran pengunjung.

Pengusaha permaidani dan hiasan rumah Hassan Khan, 32, berkata jumlah pengunjung ke Nilai 3 berkurangan hampir 60 peratus terutama pada hari biasa dengan kebanyakan peniaga mengharapkan hujung minggu atau musim cuti berikutan pelanggan meningkat ketika itu.

"Sebelum COVID-19, kami pernah mencapai keuntungan lebih RM15,000 sebulan, tetapi sekarang ini nak dapatkan RM5,000 sebulan pun susah. Saya dah kerja di sini sejak tujuh tahun lepas dan kini perniagaan di Nilai 3 tidak serancak dulu. Jadi perlu bantu beri ‘nafas baharu’ kepada kawasan ini.

"Pelanggan banyak yang datang tengok sahaja tetapi tidak membeli. Harga kami kebanyakannya masih lagi sama seperti dahulu, kalau ada beza pun mungkin RM2 hingga RM3 sahaja, kita pun tak boleh naikkan harga sesuka hati nanti orang tak beli," katanya kepada Bernama.

Hassan berkata sebelum ini kawasan itu meriah dengan pelbagai program seperti pertandingan nyanyian karaoke atau jualan murah happy hour hujung minggu, namun aktiviti berkenaan juga sudah tiada kerana tiada tiada sambutan.

Pekerja kedai karpet Ghani Rahman, 24, pula berkata kekurangan pelanggan mungkin disebabkan terdapat persaingan dengan penjualan barang secara dalam talian.

Dia yang berasal daripada Pakistan berkata hal ini kerana selain jualan di kedai, ada peniaga menjual melalui platform dalam talian termasuk TikTok dan Shopee dengan harga ditawarkan lebih murah berbanding harga pasaran.

"Mereka boleh jual murah sebab tiada kedai, tidak perlu bayar sewa, tidak perlu guna pekerja yang ramai, sebab itu mereka jual murah di TikTok atau Shopee. Kami di sini terpaksa bersaing harga,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan negeri J Arul Kumar berkata kerajaan Negeri Sembilan kini giat merancang pembangunan di Nilai 3 dengan matlamat menjadikannya antara destinasi pelancongan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nilai itu berkata kawasan tersebut akan diberikan nafas baharu dengan perancangan lebih tersusun sekali gus mengembalikan reputasi Nilai 3 sebagai lokasi membeli-belah borong terkenal dan wajib dikunjungi.

"Kerajaan negeri melalui Majlis Bandaraya Seremban telah melaksanakan penambahbaikan kemudahan asas seperti jalan raya, lampu jalan, longkang, tandas, dan lain-lain infrastruktur di kawasan tersebut, semuanya sudah kita baiki bagi memberi keselesaan kepada pengunjung.

"Terkini MBS, pemaju dan peniaga Nilai 3 telah merancang untuk membina satu mini Great Wall di Nilai 3 bagi memberi nilai tambah produk pelancongan di kawasan itu, sekali gus menjadikan Nilai 3 sebagai simbol pembangunan moden dan memperkukuh identiti Nilai sebagai destinasi pelancongan," katanya.

Beliau berkata inisiatif seumpama itu menggambarkan bahawa usaha berterusan kerajaan negeri untuk memperkasa daya tarikan Negeri Sembilan bagi menarik kedatangan pelancong dalam dan luar negara.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan