WILAYAH - TIMUR > BERITA

KELANTAN CATAT PENINGKATAN KDNK KEPADA RM27.6 BILION TAHUN LEPAS - MB

17/11/2024 02:12 PM

KOTA BHARU, 17 Nov (Bernama) -- Kelantan mencatatkan peningkatan dalam Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) kepada RM27.6 bilion pada 2023, meningkat 2.6 peratus berbanding RM26.9 bilion pada tahun sebelumnya, kata Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud.

Beliau berkata peningkatan itu dipengaruhi pertumbuhan 3.8 peratus dalam sektor perkhidmatan yang menyumbang sebanyak RM19.8 bilion.

Menteri Besar Kelantan itu berkata sektor pertanian pula menguncup 0.5 peratus disebabkan kemerosotan subsektor perhutanan dan pembalakan.

“Sektor pembuatan juga menyusut 2.6 peratus disebabkan oleh kemerosotan dalam produk elektrik, elektronik dan optikal serta produk kayu, perabot, keluaran kertas dan percetakan, manakala sektor pembinaan berkembang 6.7 peratus, sebahagian besarnya disokong aktiviti pembinaan pertukangan khas,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sesi Libat Urus Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bersama Kerajaan Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini, yang turut dihadiri Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

Mohd Nassuruddin berkata Kelantan menyasarkan pertumbuhan KDNK sebanyak RM50 bilion dalam tempoh 10 tahun yang memerlukan penumpuan khusus kepada sektor pembuatan dan industri pelancongan. 

-- BERNAMA


 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan