WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MALAYSIA, UAE BINCANG KERJASAMA PERKUKUH HUBUNGAN DUA HALA

17/11/2024 04:03 PM

Daripada Zarul Effendi Razali

DUBAI, 17 Nov (Bernama) -- Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) sedang dalam rangka perbincangan kerjasama untuk mengukuhkan lagi hubungan dua hala dalam beberapa sektor.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pertemuan beliau dengan Menteri Tenaga dan Infrasturktur UAE Suhail Mohamed Al Mazrouei di sini, bagi membincangkan beberapa kerjasama termasuk mengenai isu keterjaminan makanan.

“Saya dapat melihat kesungguhan UAE dalam memastikan ketersediaan bekalan makanan di rantau ini dengan menjadi pusat utama bagi eksport semula produk makanan. 

“Ini secara tidak langsung membuka peluang besar bagi Malaysia untuk meningkatkan eksport produk makanan dan halal ke pasaran UAE serta rantau sekitarnya,” katanya menerusi catatan di Facebook hari ini.

Pada pertemuan itu, Ahmad Zahid dan Suhail turut membincangkan mengenai potensi kerjasama dalam sektor pengurusan logistik dan pelabuhan khususnya dengan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang telah digunakan UAE dalam pengurusan pelabuhan dan terbukti berjaya mengoptimumkan pengendalian kontena serta meningkatkan efisiensi logistik mereka.

Ahmad Zahid berkata teknologi itu sekiranya dapat diaplikasikan di Malaysia, pasti dapat membantu meningkatkan kapasiti dan daya saing pelabuhan tempatan seperti Pelabuhan Tanjung Pelepas dan Westports.

Selain itu, beliau berkata kedua-dua negara juga membincangkan mengenai peluang kerjasama dalam pengurusan bencana.

“Saya sendiri telah melihat UAE melalui Space42 mempunyai sistem pemantauan bencana yang canggih. Ini berpotensi untuk membantu Malaysia dalam membangunkan sistem amaran awal yang mampu meningkatkan keupayaan negara dalam menangani bencana dengan lebih cekap,” katanya.

Turut dibincangkan, potensi kerjasama dalam pembangunan pusat data dengan penggunaan tenaga hijau kerana UAE telah melabur secara signifikan dalam infrastruktur melibatkan empat reaktor nuklear yang berjaya menyumbang kira-kira 25 peratus keperluan elektrik di negara tersebut.

“Saya juga telah menyambut baik cadangan UAE untuk berkolaborasi dengan Malaysia dalam teknologi data bagi memperkasa fungsi dan data sekuriti di negara kita,” kata Ahmad Zahid.

Mengakhiri pertemuan itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah mengambil kesempatan menjemput pihak UAE untuk menghadiri MIHAS@Dubai 2024 yang berlangsung di Dubai World Trade Centre bermula esok sebagai platform memperkenalkan produk Malaysia, selain mengundang negara itu untuk menyertai Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC), tahun depan.

“Saya juga menyatakan penghargaan atas sokongan UAE terhadap Malaysia sebagai negara rakan BRICS. Diharapkan hubungan erat ini akan membuka lebih banyak peluang baharu bagi rakyat Malaysia serta meningkatkan kedudukan Malaysia di pentas antarabangsa sebagai rakan strategik yang kukuh. Insya-Allah,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan