WILAYAH - UTARA > BERITA

PERLIS BERPOTENSI JANA PELBAGAI EKONOMI DENGAN KELEBIHAN TERSENDIRI

18/11/2024 08:47 PM

KANGAR, 18 Nov (Bernama) -- Perlis berpotensi menjana pelbagai ekonomi dengan kelebihan tersendiri dari segi kedudukan geografi yang bersempadan Thailand dan menjadi antara tempat paling banyak menerima cahaya matahari serta kemudahan tanah.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata terdapat potensi membina industri perkilangan dan pemprosesan berasaskan pertanian serta menjadi lokasi pengembangan industri kerana Perlis mampu mempunyai ladang solar. 

Bagaimanapun, kepelbagaian ekonomi itu tidak boleh dicapai dalam masa singkat sebaliknya memerlukan tempoh panjang berserta kerjasama baik antara kerajaan pusat dengan negeri.

“Perlis ada kelebihan tersendiri yang kalau dipacu dengan baik boleh mempelbagaikan ekonomi itu dengan lebih cepat … ia boleh ada keseimbangan dalam pertanian, logistik, pengilangan, tenaga dan sebagainya,” katanya pada sidang media selepas sesi pertama libat urus Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dengan pihak kerajaan negeri di Dewan 2020 di Persiaran Wawasan di sini hari ini.

Sementara itu, Rafizi berkata kerajaan Perlis sememangnya mempunyai kerjasama rapat dengan Kementerian Ekonomi kerana antara agensi banyak memberikan tumpuan kepada Perlis ialah Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA).  

“Ada beberapa projek skala nasional yang dijalankan di bawah NCIA … satu daripadanya Chuping Valley Industrial Area (CVIA), kemudian Perlis Inland Port (PIP) terbaharu nanti di Sanglang (Projek Jeti Bersepadu Sanglang). 

“Kita kena pastikan juga kelebihan institusi pendidikan tinggi berasaskan kejuruteraan dan teknikal (Universiti Malaysia Perlis) dapat digunakan sebaik mungkin untuk menyediakan bakat kepada projek yang menjadi pertumbuhan ekonomi baharu ini,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan