WILAYAH - SARAWAK > BERITA

WANITA DIKHUATIRI LEMAS: TIADA PETUNJUK BAHARU, SAR DISAMBUNG ESOK

18/11/2024 10:33 PM

IPOH, 18 Nov (Bernama) -- Tiada sebarang petunjuk baharu berkaitan usaha mencari dan menyelamat (SAR) seorang wanita dihanyutkan arus deras semasa mandi-manda di Sungai Air Beruk, Jalan Padang Setang, Kampung Kerunai di Gerik petang semalam.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak  Sabarodzi Nor Ahmad berkata SAR akan disambung esok bermula 8 pagi dengan menumpukan 13 lokasi di sepanjang Sungai Air Beruk dan Sungai Rui.

“Kesemua lokasi itu diwujudkan dalam radius SAR melibatkan jarak keseluruhan sepanjang 16 kilometer (km) sama seperti operasi hari ini. Cuma kewujudan lokasi-lokasi ini adalah untuk memberi tumpuan lebih terperinci terhadap usaha mengesan mangsa.

“Setiap lokasi ini juga akan ditempatkan kira-kira enam anggota yang terdiri dalam kalangan anggota bomba, polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta penduduk setempat,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Terdahulu, Sabarodzi dalam kenyataan memaklumkan operasi pencarian Nur Arina Azizan, 20, yang bermula 8 pagi tadi diketuai Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) yang dianggotai lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar selain turut dibantu polis, APM dan penduduk setempat.

Pencarian mangsa melibatkan jarak dua km dari tempat kejadian hingga sepanjang jajaran Sungai Beruk dan kawasan berjarak 14 km bermula dari Dataran Loma, Sungai Rui hingga persimpangan Sungai Beruk.

Sabarodzi berkata beberapa bot milik JBPM juga berkemungkinan digerakkan hingga ke Sungai Perak, namun bergantung kepada usaha pencarian di 13 lokasi khusus berkenaan.

“Kita tumpu dahulu pada lokasi berkenaan dan kalau masih gagal ... kita akan minta anggota untuk teruskan operasi mengesan mangsa hingga ke Sungai Perak,” katanya.

Beliau berkata operasi SAR hari ini ditangguhkan pada 7 malam tadi dan bersambung 8 pagi esok.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan