WILAYAH - SARAWAK > BERITA

OPERASI, OBLIGASI NAFAS TIDAK TERJEJAS AKIBAT PENGGANTUNGAN - MOHAMAD SABU

19/11/2024 12:41 PM

KUALA LUMPUR, 19 Nov (Bernama) -- Operasi dan obligasi Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) kepada mana-mana pihak ketiga tidak terjejas berikutan penggantungan perlembagaan pertubuhan itu bermula 1 Nov lepas.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata bagi urusan perniagaan melibatkan pembekalan baja padi kepada pesawah, ia berjalan seperti biasa di bawah bidang kuasa pentadbir yang dilantik Pendaftar Pertubuhan Peladang.

“Sepanjang tempoh penggantungan ini, Pendaftar Pertubuhan Peladang akan memantau urusan harian di samping menambah baik tadbir urus dan tatakelola NAFAS bagi memperkasakan semula NAFAS secara holistik.

“Ini untuk memastikan NAFAS beroperasi mengikut hala tuju dan semangat penubuhan NAFAS selaras dengan perundangan yang sedang berkuat kuasa,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) mengenai kontroversi yang berlaku dalam NAFAS dan hala tuju kementerian dalam menstruktur semula NAFAS.

Menjawab soalan tambahan Sim mengenai tempoh penggantungan NAFAS, Mohamad berkata hal itu bergantung kepada cadangan Majlis Penasihat NAFAS yang sedang menilai tatakelola dan tadbir urus pertubuhan berkenaan.

Beliau berkata penarikan balik penggantungan itu juga hanya boleh dilakukan selepas kementerian mendapatkan nasihat undang-undang daripada penasihat undang-undang kementerian atau Peguam Negara.

“Jadi, kita minta siasat dan beri kerjasama, sebarang laporan dan pendakwaan kita harap tidak (ada pihak) mengatakan berlaku pendakwaan terpilih.

“Ini merupakan penggantungan kali ketiga (melibatkan NAFAS) di mana yang pertama di bawah Menteri Pertanian (ketika itu) Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang kedua di bawah Datuk Seri Salahuddin Ayub dan ketiga di bawah Mohamad Sabu,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad berkata kementerian dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) telah menggariskan beberapa strategi pembaharuan dan hala tuju bagi memastikan NAFAS dapat dipulihkan dan berfungsi mengikut objektif asalnya.

Beliau berkata ia termasuk menambah baik komposisi serta tatakelola Ahli Jemaah Pengarah selain pindaan dan pemantapan Arahan Pendaftar Pertubuhan Peladang khususnya perlembagaan NAFAS dan syarikat subsidiari ke arah mengelakkan pertindihan kuasa dan fungsi antara pengurusan dan Ahli Jemaah Pengarah NAFAS.

Sebelum ini, perlembagaan NAFAS digantung bagi menambah baik tatakelola dan tadbir urus pertubuhan berkenaan dengan arahan dikeluarkan di bawah Seksyen 20 (1) Akta Pertubuhan Peladang 1973 susulan konflik dalaman dan ketidakharmonian yang menjejaskan operasi serta fungsinya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan