WILAYAH - TIMUR > BERITA

KERAJAAN PERSEKUTUAN, NEGERI KOMITED TANGANI GANGGUAN HIDUPAN LIAR

19/11/2024 01:56 PM

KUALA TERENGGANU, 19 Nov (Bernama) -- Kerajaan Persekutuan bersama Kerajaan Negeri Terengganu menerusi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) sentiasa komited menangani masalah gangguan hidupan liar yang bukan sahaja memusnahkan tanaman malah turut menyebabkan kematian penduduk.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri Datuk Razali Idris berkata antara yang dilakukan ialah pembinaan sistem pagar elektrik gajah melalui Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) melibatkan kos RM3.5 juta.

“Sistem pagar elektrik ini telah dipasang di tiga lokasi iaitu di Kampung Lawit ke (Kampung) Belukar Bukit di Hulu Terengganu sepanjang 29.5 kilometer (km); Kampung Palong di Setiu (35 km) dan Kampung Payung ke (Kampung) Chalok Barat di Setiu (25 km),” katanya pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Mohd Zawawi Ismail (PAS-Telemung) mengenai langkah kerajaan negeri menangani gangguan hidupan liar terhadap kehidupan harian rakyat.

Razali berkata kerajaan juga memperuntukkan lebih kurang RM500,000 setiap tahun bagi kerja-kerja pembersihan dan penyelenggaraan sistem pagar elektrik gajah di tiga kawasan tersebut agar sentiasa berfungsi dengan baik dan meminimumkan serangan gajah.

Menjawab soalan tambahan Mohd Zawawi mengenai faktor yang menyumbang kepada peningkatan konflik hidupan liar dengan manusia, Razali berkata antaranya adalah disebabkan aktiviti pembalakan yang menyebabkan habitat hidupan liar terancam.

Selain itu katanya tanaman pekebun dan penduduk seperti pisang telah menarik perhatian haiwan liar seperti gajah untuk memasuki kawasan kebun dan rumah penduduk.

Dalam pada itu, beliau berkata susulan kejadian seorang pekebun warga emas, Musa Ahmad, 65, yang maut diserang gajah liar di Kampung Basung di Hulu Terengganu pada Oktober lepas, satu pasukan renjer di kampung tersebut telah ditubuhkan untuk memastikan kawasan kampung sentiasa terjaga sekiranya berlaku kemasukan gajah liar atau binatang buas lain.

“Pasukan renjer ini dipengerusikan pegawai daerah Hulu Terengganu dan yang terlibat JPKK (Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung), Perhilitan, PDRM (Polis Diraja Malaysia) dan orang kampung. 

“Pasukan renjer ini merupakan projek rintis bagi mengurangkan risiko berlakunya serangan gajah atau haiwan liar lain di kawasan berisiko,” katanya.

 -- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan