WILAYAH - SELATAN > BERITA

WARGA SINGAPURA DIPENJARA ENAM BULAN, DENDA RM6,000 AJAR AJARAN SALAH

19/11/2024 04:04 PM

SEREMBAN, 19 Nov (Bernama) -- Seorang warga Singapura dipenjara enam bulan dan didenda keseluruhan RM6,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini atas tiga pertuduhan mengajar ajaran salah yang berlawanan hukum syarak, tahun lepas.

Idris Ami, 60, yang tidak diwakili peguam membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya secara berasingan di hadapan Hakim Syarie Zulfikri Yasoa' selain turut memerintahkan penjara dua bulan bagi setiap pertuduhan sekiranya gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa menyebarkan perbuatan berlawanan dengan hukum syarak kepada sekumpulan individu dikenali sebagai Kumpulan Cahaya dengan membenarkan berpelukan berbeza jantina dan bukan mahram.

Ia kerana atas dasar kepercayaan bahawa tidak berlaku kesalahan dari sudut syarak kerana perbuatan itu berlandaskan kecintaan hati bukannya keinginan jasad dan nafsu yang dilakukan di sebuah rumah di Kuala Pilah pada September hingga Disember 2023.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, dia didakwa mengajar ajaran salah kepada dua lelaki berusia 42 dan 46 tahun dengan mendakwa dirinya utusan iaitu rasul bagi zaman ini serta mengajar ajaran salah kepada individu sama dengan mendakwa dalam dirinya ada roh kudus yang merujuk kepada roh rasul-rasul terdahulu di lokasi sama, kira-kira 11 malam antara 6 hingga 8 Okt 2023.

Pertuduhan di bawah Seksyen 52 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 pindaan 2019 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang memperuntukkan denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.

Sebelum ini, Idris yang bekerja sebagai pemandu foklif mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan kedua dan ketiga namun tertuduh menukar pengakuannya pada prosiding hari ini.

Tertuduh dalam rayuannya memohon mahkamah meringankan hukuman dan tidak dipenjarakan kerana mahu pulang ke Singapura serta menanggung anak dan isteri di negara tersebut selain mendakwa tidak tahu mengenai hukum syarak di Malaysia.

Ketua Pendakwa Syarie Raja Mazelan Raja Deraman kemudian memohon mahkamah menetapkan hukuman berat atas alasan perbuatan dan ajaran dibawa menyeleweng dan bertentangan dengan hukum syarak sehingga menyebabkan syirik, kufur dan murtad sekali gus memecahbelahkan masyarakat.

“Tertuduh datang ke Malaysia dan sebar ajaran salah kepada masyarakat Islam. Sewajarnya sebagai bukan warganegara beliau sepatutnya mematuhi peraturan dan undang-undang di Negeri Sembilan. Hukuman juga sebagai pengajaran dan mahu membendung ajaran salah daripada berleluasa,” katanya.

Sementara itu, di mahkamah sama, pemuzik jalanan Norasid Md Said, 50, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengajar ajaran salah yang berlawanan dengan hukum syarak kepada ahli keluarga wanita berusia 42 tahun dengan menyatakan 'solat ini tidak ada syariat dalam al-Quran, solat ini hanyalah agenda konspirasi bangsa Arab'.

Kesalahan itu dilakukan pada 24 April 2023 di sebuah rumah di Taman PGBF Harmoni, Gemas, Tampin mengikut Seksyen 52 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 dan jika disabitkan boleh didenda sehingga RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya. 

Terdahulu, dia yang diwakili peguam Mohd Tajuddin Abd Razak sepatutnya turut dibicarakan atas tiga pertuduhan lain hari ini, namun Raja Mazelan menyatakan saksi yang juga ahli keluarganya tidak bersedia kerana tertuduh didapati mengganggunya dengan menghantar pesanan melalui Whatsapp.

Zulfikri kemudian memberikan amaran kepada tertuduh supaya tidak mengganggu saksi selain memaklumkan kemungkinan jaminan ke atas tertuduh akan ditarik dan ditempatkan di penjara sekiranya terus mengganggu saksi pendakwaan. 

Mahkamah menetapkan wang jaminan baharu sebanyak RM2,000 dan sebutan kes termasuk tiga pertuduhan sebelum ini masing-masing pada 21 Jan dan 17 Feb depan. 

Norasid pada 6 Ogos lepas mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengajar ajaran berlawanan hukum syarak berkaitan ajaran Millah Abraham kepada seorang ahli keluarga wanita berusia 42 tahun, April tahun lepas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan