WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KERAJAAN TERENGGANU DIGESA PERKASAKAN USAHAWAN PMKS

19/11/2024 05:34 PM

KUALA TERENGGANU, 19 Nov (Bernama) -- Kerajaan Negeri Terengganu digesa memperkasakan usahawan-usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di negeri itu bagi meningkatkan produktiviti dan daya saing mereka.

Saiful Azmi Suhaili (PAS-Kemasik) berkata pelbagai program pembangunan kemahiran dan inovasi usahawan boleh dilakukan serta ia perlu diselaraskan pada peringkat DUN bagi menghasilkan impak yang lebih baik.

“Kemasik berharap pelaksanaannya lebih menyeluruh dan pihak DUN sentiasa dilibatkan bagi memastikan kebersamaan menggembleng tenaga dengan penglibatan pihak kerajaan, swasta, badan bukan kerajaan (NGO), kepimpinan setempat dan rakyat.

“Diharapkan program-program pembangunan modal ini dapat diselaraskan bersama peringkat DUN kerana mungkin kawasan masing-masing mempunyai perancangan,” katanya dalam sesi Perbahasan Enakmen Perbekalan 2025 pada persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Sementara itu pada sesi sama, Zuraida Md Noor (PAS-Ladang) mencadangkan kerajaan negeri melakukan kajian semula bagi memantapkan Garis Panduan Hiburan, Persembahan Kebudayaan, Pelancongan dan Sukan yang telah diwujudkan.

“Sebagai contoh, sebelum ini kita membenarkan anak-anak gadis kita di sekolah rendah untuk melakukan persembahan tarian dan sebagainya di hadapan awam, adalah lebih ‘molek’ sekiranya kita mendefinisikan anak gadis itu kepada kategori baligh dan belum baligh.

"Ertinya, anak-anak sekolah rendah yang belum baligh sahaja dibenarkan membuat persembahan tarian dan sebagainya di hadapan khalayak umum,” katanya.

Beliau berkata usaha memperkasakan garis panduan terbabit memerlukan penglibatan semua agensi yang berkaitan untuk memastikan pelaksanaannya dapat dilakukan dengan penuh integriti.

Dalam perkembangan lain, Ridzuan Hashim (PAS-Buluh Gading) mencadangkan acara sukan air, iaitu lumba perahu panjang dimasukkan ke dalam jadual aktiviti tahunan pelancongan negeri bagi menarik lebih ramai pelancong dari dalam dan luar negara ke Terengganu.

Beliau berkata pihaknya bersedia untuk menjadi tuan rumah sekiranya hasrat berkenaan dapat direalisasikan memandangkan pihak DUN Buluh Gading telah menganjurkan sendiri beberapa program melibatkan perahu panjang, seperti Kejohanan Perahu Naga Beautiful Terengganu pada 2022 dan ia menerima sambutan menggalakkan dengan penyertaan peserta dari dalam dan luar Terengganu.

“Saya percaya jika acara ini dapat dilaksanakan oleh kerajaan negeri pada skala yang lebih besar dengan penyertaan dari dalam dan luar negeri, pastinya akan merancakkan lagi industri pelancongan sekali gus memberi impak positif dari sudut ekonomi kepada penduduk tempatan seperti melalui aktiviti jualan daripada gerai-gerai yang diwujudkan,” katanya.  

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan