WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MAYAT NUR ARINA DITEMUKAN TUJUH KILOMETER DARI LOKASI DIHANYUT AIR

19/11/2024 09:07 PM

IPOH, 19 Nov (Bernama) -- Wanita yang dilapor hilang selepas dihanyutkan arus deras ketika mandi di Sungai Air Beruk, Kampung Kerunai, Gerik, Ahad lepas, ditemukan lemas di Sungai Rui, hari ini. 

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata mayat Nur Arina Azizan, 20, ditemukan kira-kira 4 petang tadi, tujuh kilometer dari lokasi kejadian.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang turut disertai Unit Anjing Pengesan (K9) dipecahkan kepada 13 sektor di sepanjang sungai bermula dari Sungai Air Beruk hingga ke Dataran Loma.

"Anggota penyelamat melakukan selaman di lokasi dipercayai mangsa berada dan berjaya menemukan mayat mangsa kira-kira tujuh kilometer dari tempat dihanyutkan," katanya dalam kenyataan. 

Beliau berkata mayat dibawa ke Hospital Gerik untuk tindakan lanjut manakala operasi SAR ditamatkan pada 5.30 petang. 

Dalam kejadian 2.30 petang Ahad lepas, Nur Arina yang mandi-manda bersama ahli keluarga di sungai itu dihanyutkan arus deras selepas turun dari pelampung.

Ibunya yang berusia 48 tahun turut dihanyutkan, namun dapat diselamatkan orang awam sebelum ketibaan pihak bomba.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan