WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KPKT PERUNTUK RM51.55 JUTA UNTUK 233 INISIATIF INFRASTRUKTUR AWAM SARAWAK

19/11/2024 09:35 PM

KUCHING, 19 Nov (Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperuntukkan RM51.55 juta untuk 233 inisiatif infrastruktur awam di Sarawak tahun ini, kata Timbalan Premier Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.

Beliau berkata selain itu, sebanyak RM700,000 diperuntukkan untuk 10 projek di bawah Program Bandar Selamat bertujuan meningkatkan tahap keselamatan dan kesesuaian didiami di kawasan bandar.

"Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) pula memperuntukkan RM1.995 juta untuk menaik taraf 13 tamu manakala Kementerian Ekonomi menyediakan RM2.06 juta bagi 16 projek infrastruktur kecil melalui Inisiatif Kemudahan Rakyat (IKR)," katanya.

Dr Sim yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak berkata demikian ketika menggulung perbahasan Belanjawan Sarawak 2025 bagi kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Beliau berkata KPKT turut memperuntukkan RM6 juta untuk membaiki 300 rumah di negeri ini di bawah Program Pembasmian Kemiskinan Bandar (PPKB).

"Setakat ini, sebanyak 289 projek membaik pulih rumah telah siap manakala 16 rumah baharu telah dibina daripada 43 rumah yang diluluskan dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM2.72 juta," katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan