WILAYAH - SABAH > BERITA

POLIS MINTA SAKSI KEJADIAN TAMPIL BANTU SIASATAN KEMALANGAN MAUT KERETA API

19/11/2024 11:07 PM

PUTATAN, 19 Nov (Bernama) -- Polis meminta saksi kejadian kemalangan kereta api yang mengakibatkan seorang wanita maut manakala anak lelakinya berusia 11 tahun cedera parah di sini tengah hari tadi, agar tampil untuk memberikan maklumat bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Penampang Supt Sammy Newton berkata siasatan awal pihak polis di lokasi kejadian mendapati mangsa bersama anaknya dilanggar ketika melintas di landasan kereta api berkenaan.

“Mangsa telah diseret sejauh 50 meter dan mayatnya telah dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth untuk bedah siasat manakala anak lelakinya diberi rawatan lanjut di hospital yang sama," katanya dalam kenyataan di sini malam ini.

Sammy juga meminta orang ramai agar tidak menularkan video kejadian di mana-mana platform media sosial bagi menjaga sensitiviti ahli keluarga mangsa.

Beliau turut menasihatkan kepada semua pengguna agar berhenti dan tidak menggunakan 'laluan tikus' di landasan kereta api bagi mengelak kejadian yang tidak diingini berlaku.

Dalam nahas itu, mangsa Lena Gabun, 41, maut manakala anak lelakinya cedera parah selepas dirempuh kereta api dari Putatan menghala ke Kota Kinabalu ketika melintas di landasan di hadapan Kampung Petagas di sini.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan