WILAYAH - TIMUR > BERITA

ECRL DI TERENGGANU BERI PEKERJAAN KEPADA LEBIH 3,000 ANAK TEMPATAN

20/11/2024 03:16 PM

KUALA TERENGGANU, 20 Nov (Bernama) -- Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Terengganu setakat September tahun ini telah membuka peluang pekerjaan kepada 3,476 rakyat di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri Hanafiah Mat berkata keperluan pekerja tempatan semasa yang terlibat dalam projek mega berkenaan bergantung kepada kerja-kerja infrastruktur yang masih ada.

“Bagi pekerja yang mempunyai kepakaran tertentu, mereka akan diserapkan semasa pengoperasian dan bilangan ditentukan mengikut kekosongan jawatan serta ditawarkan dari semasa ke semasa,” katanya pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di Wisma Darul Iman, di sini hari ini. 

Beliau menjawab soalan dikemukakan Dr Riduan Mohd Nor (PAS-Jertih) mengenai jumlah pekerja tempatan Terengganu dalam pembinaan projek ECRL. 

Ketika menjawab soalan tambahan Riduan mengenai kes sosial melibatkan pekerja ECRL dengan penduduk tempatan, Hanafiah berkata Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) selaku pemilik projek ECRL dengan kerjasama kontraktor utama, China Communications Construction Sdn Bhd (CCC) telah mengambil beberapa langkah untuk mengatasinya.

"Antaranya, mewujudkan penempatan pekerja dari China secara berpusat dikenali sebagai Central Labour Quarters (CLQ) dan memperkenalkan sistem atau prosedur keselamatan yang wajib dipatuhi.

"Sistem pemantauan bersama pihak berkuasa tempatan termasuklah polis dan agensi penguat kuasa lain juga dilakukan, dan pemeriksaan kesihatan secara berkala agar tiada penyakit berjangkit," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan