WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PETUGAS AERODARAT DIDAKWA KASARI PENUMPANG NTL DI KLIA DIGANTUNG TUGAS

20/11/2024 08:49 PM

KUALA LUMPUR, 20 Nov (Bernama) -- Petugas AeroDarat Services (ADS) yang didakwa mengasari seorang penumpang yang menerima Notis Penolakan Masuk (NTL) di Lapangan Terbang Antarbangsa Kuala Lumpur 1 (KLIA1)  seperti yang tular di media sosial, telah diberikan surat tunjuk sebab dan digantung tugas.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata tindakan itu bagi memberi laluan kepada ADS, yang menyediakan perkhidmatan pengendalian darat untuk menjalankan siasatan menyeluruh berhubung insiden itu. 

"Saya difahamkan petugas terlibat dalam insiden itu adalah petugas AeroDarat bukannya staf Malaysia Airport Holding Berhad (MAHB). Petugas menyatakan bahawa ada provokasi daripada penumpang NTL.

“Situasi itu menyebabkan ada kekasaran fizikal dan ada kata-kata tidak cantik, kata-kata kesat dan sebagainya, apa pun keadaan memang kita tidak boleh pertahankan petugas itu," katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen hari ini.

Baru-baru ini tular video berdurasi 25 saat yang memaparkan insiden pergaduhan di KLIA Terminal 1 membabitkan dua individu, dengan polis menyiasat kes berkenaan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan. 

Beliau berkata dalam apa juga situasi, petugas tersebut seharusnya bertindak secara profesional walaupun berdepan dengan penumpang yang kurang sopan.

Loke berkata mengikut prosedur ditetapkan, tanggungjawab menguruskan mana-mana penumpang NTL adalah di bawah bidang kuasa syarikat penerbangan bukannya Jabatan Imigresen atau MAHB.

"Itu memang satu standard antarabangsa, semua lapangan antarabangsa pun sama. Dalam kes ini ada satu bilik yang disediakan oleh MAHB untuk meletakkan penumpang NTL sementara menunggu penerbangan balik," katanya. 

NTL dikeluarkan ke atas penumpang atas pelbagai sebab antaranya memiliki rekod senarai hitam, tidak dapat membuktikan tujuan kedatangan seperti visa, tiket penerbangan pergi dan balik, hotel penginapan yang menjadi syarat imigresen di mana-mana negara.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan