WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KUNJUNGAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN AFGHANISTAN BUKTI SISTEM PENDIDIKAN NEGARA DIIKTIRAF - ABIM

20/11/2024 10:39 PM

KUALA LUMPUR, 20 Nov (Bernama) -- Kunjungan delegasi Kementerian Pendidikan Afghanistan ke Kementerian Pendidikan (KPM) memperlihatkan pengiktirafan negara luar terhadap sistem pendidikan Malaysia sebagai model untuk dicontohi, kata Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

Presidennya Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata keterbukaan KPM untuk menerima kunjungan delegasi kerajaan Afghanistan itu juga menggambarkan kesediaan Malaysia memperjuangkan aspek pendidikan untuk semua kelompok termasuk wanita, ditambah dengan Fadhlina Sidek sebagai menteri wanita yang menerajui KPM.

"Kesediaan dunia Islam khususnya seperti Afghanistan memberi perhatian dalam aspek pendidikan perlu diberi perhatian, apatah lagi bila ia menjadikan Malaysia sebagai model rujukan dalam pelbagai aspek termasuk kokurikulum, pendidikan rendah dan menengah dan aspek pelatihan keguruan.

"Justeru ABIM berpandangan negara mempunyai peluang besar untuk memainkan peranan strategik sebagai negara Islam progresif yang menegakkan prinsip keadilan, kebebasan dan hak pendidikan untuk semua," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Sehubungan itu, Ahmad Fahmi menegaskan usaha Malaysia menegakkan prinsip keadilan dan hak pendidikan untuk semua tidak seharusnya diragui kerana ia mendukung nilai sejagat yang disepakati iaitu pemberdayaan wanita menerusi pendidikan.

"Apatah lagi ia (kunjungan ini) membuktikan kredibiliti KPM yang diterajui menterinya Fadhlina Sidek serta timbalannya Wong Kah Woh diberi perhatian. Peluang ini juga perlu dimanfaatkan untuk menunjukkan kekuatan budaya hidup dalam rukun damai yang diamalkan di negara ini," katanya.

Terdahulu, Pengerusi DAP Lim Guan Eng menuntut penjelasan daripada Fadhlina berhubung kunjungan delegasi Kementerian Pendidikan Afghanistan yang dipimpin Taliban ke kementeriannya, baru-baru ini.

Semasa sidang media di Pusat Media Parlimen di sini, hari ini, Lim menyifatkan lawatan delegasi itu menimbulkan persoalan memandangkan Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan negara tersebut selain tiada keperluan untuk Malaysia mempunyai hubungan dengan negara yang mengamalkan diskriminasi terhadap wanita.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan