WILAYAH - SARAWAK > BERITA

ICU JPM PERAK, FARM FRESH BANTU GOLONGAN MEMERLUKAN JADI USAHAWAN

21/11/2024 12:43 AM

IPOH, 20 Nov (Bernama) -- Unit Penyelerasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) menerusi Pejabat Pembangunan Negeri Perak komited membantu pembangunan usahawan daripada golongan yang memerlukan melalui inisiatif pemberian dana modal perniagaan.

Pengarah berkenaan Datuk Shamshuzaman Sulaiman berkata ia dilaksanakan melalui Program Usahawan Susu ICU-Farm Fresh (PUSH) di bawah kerangka Inisiatif Kesejahteraan Rakyat MADANI (IKRaM) yang dilancarkan kerajaan. 

Beliau berkata peserta yang terpilih turut menerima sumbangan berupa kit permulaan program Home Dealer susu Farm Fresh bernilai RM1,000. 

"JPM merupakan agensi penyelarasan sistem eKasih dan kita telah pilih 16 peserta dalam negeri Perak yang berstatus miskin untuk menceburi bidang perniagaan susu. 

"Kebanyakan mereka ini adalah peniaga kecil-kecilan yang ada pengalaman berniaga untuk kita bimbing agar mereka memperoleh pendapatan sampingan, sekali gus mampu menoktahkan kemiskinan," katanya dalam sidang media di sini hari ini. 

Beliau berkata demikian selepas merasmikan PUSH yang turut dihadiri Ketua Pegawai Operasi Farm Fresh Berhad Azmi Zainal.

Shamshuzaman menambah, program yang julung kali dianjurkan itu turut memberikan latihan serta bimbingan usahawan kepada peserta yang terlibat. 

"PUSH merupakan kerjasama strategik antara ICU JPM Pejabat Pembangunan Negeri Perak dengan Farm Fresh Berhad yang telah terbukti mampu menjana pendapatan isi rumah melalui jualan produk tenusu. 

"Pihak ICU JPM akan sentiasa mengadakan kerjasama dengan rakan strategik kami untuk memantau dan membantu rakyat yang berada dalam garis kemiskinan, terutama mereka yang miskin tegar di negeri Perak dan seluruh negara," katanya. 

Sementara itu, Azmi berkata setakat ini Farm Fresh Berhad telah melahirkan lebih 2,000 usahawan melalui program Home Dealer yang dilancarkan sejak 2016.

"Setakat ini, di Perak kita mempunyai 300 usahawan yang telah kita latih dan kami memang sentiasa mahu membantu usahawan dari kalangan peserta eKasih bagi menambah pendapatan sampingan selain perniagaan utama mereka. 

"Kit permulaan ini merupakan satu inisiatif yang baik untuk mereka memulakan perniagaan dan jika ia mampu terjual, peniaga boleh memperoleh sekitar RM250 margin keuntungan," katanya. 

-- BERNAMA 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan