WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SELANGOR LAKSANA GAJI MINIMUM BAHARU TAHUN HADAPAN - EXCO

21/11/2024 05:13 PM

SHAH ALAM, 21 Nov (Bernama) -- Kadar gaji minimum di Selangor akan diselaraskan kepada RM1,700 tahun depan seiring dengan pelaksanaan di peringkat Persekutuan, kata Exco Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan negeri V. Papparaidu. 

Beliau berkata ia akan dikuatkuasakan menerusi beberapa pendekatan dengan kerjasama pihak berkepentingan antaranya Jabatan Tenaga Kerja, badan berkanun dan sektor swasta di negeri itu.

Papparaidu berkata bagi tujuan sama, kerajaan negeri akan memberikan sokongan dalam bentuk bantuan kepada syarikat mikro, kecil dan sederhana dalam menggalakkan pemberian gaji adil dan berpatutan, dengan mengambil kira keadaan ekonomi semasa dan kadar inflasi.

“Syarikat yang mendapat kontrak kerajaan negeri juga dipastikan mematuhi penetapan ini. Pelaksanaan gaji minimum RM1,700 ini memerlukan pemantauan berterusan dan kesedaran semua pihak.

“Sebagai negeri maju dan memiliki perkembangan ekonomi yang baik, kerajaan negeri akan memastikan usaha mengadaptasi perubahan tanpa menjejaskan operasi,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Jefri Mejan (PN-Ijok) yang ingin tahu pendekatan kerajaan negeri untuk memastikan kadar gaji minimum RM1,700 dilaksanakan di Selangor. 

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentang Belanjawan MADANI 2025  mengumumkan kenaikan kadar gaji minimum daripada RM1,500 kepada RM1,700 sebulan berkuat kuasa mulai 1 Feb.

Selain itu, beliau berkata kerajaan turut memutuskan penangguhan kuat kuasa gaji minimum RM1,700 membabitkan majikan yang mempunyai kurang daripada lima pekerja bagi tempoh enam bulan berkuat kuasa 1 Ogos.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan