WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MMA SOKONG SARANAN SULTAN PAHANG HARAMKAN VAP

21/11/2024 06:15 PM

KUANTAN, 21 Nov (Bernama) -- Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menyokong saranan Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar vap atau peranti rokok elektronik diharamkan dan menyeru kerajaan untuk mempertimbangkan cadangan berkenaan. 

Presidennya Datuk Dr Kalwinder Singh Khaira berkata isu penggunaan vap dalam kalangan perlu ditangani segera sebelum ia mencetuskan lebih banyak masalah kepada kesihatan dan peningkatan penggunaannya dalam kalangan belia di negara ini juga amat membimbangkan serta perlu ditangani di peringkat akar umbi. 

“Kami juga bimbang memandangkan vap boleh membawa kepada masalah kesihatan yang serius seperti gangguan pernafasan, penyakit paru-paru dan juga kerosakan organ. Penggunaan vap secara langsung mahupun tidak langsung juga boleh menyebabkan ketagihan kepada dadah dan bahan-bahan berbahaya yang lain,” katanya dalam satu kenyataan.

Berdasarkan statistik setakat 2020, sebanyak 2,807 kes berkiatan rokok elektronik (EVALI) telah dilaporkan kepada Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit di Amerika Syarikat manakala di Malaysia sejumlah 41 kes telah dilaporkan dari 2019 hingga 30 Sept tahun ini.

Memerik laporan media pada 14 Nov, mengatakan kerajaan Malaysia perlu membelanjakan lebih RM150,000 untuk merawat individu yang menghidap EVALI.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad juga dilaporkan berkata kos rawatan diunjurkan meningkat kepada RM369 juta setahun menjelang 2030 andai tiada langkah kawalan diambil terhadap penggunaan vap.

Sehubungan itu, Dr Kalwinder berkata persatuan itu percaya langkah kawalan terbaik adalah dengan mengharamkan sepenuhnya semua produk vap atau peranti rokok elektronik.

"Fakta dan angka membuktikan bahawa vap tidak memberikan apa-apa manfaat kepada masyarakat dari segi kesihatan mahupun kos untuk penjagaan kesihatan," tambahnya.

Pada Isnin, media melaporkan Sultan Pahang menyarankan penggunaan peranti rokok elektronik atau vap diharamkan secara total. 

Saranan itu, susulan kebimbangan Al-Sultan Abdullah dengan peningkatan penyalahgunaan dadah di Pahang, khususnya dalam kalangan belia berdasarkan statistik Agensi Antidadah Kebangsaan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan