WILAYAH - SARAWAK > BERITA

GANGGUAN BEKALAN AIR, HARGA TANAH PERINDUSTRIAN ANTARA CABARAN KERAJAAN PULAU PINANG

22/11/2024 12:56 PM

GEORGE TOWN, 22 Nov (Bernama) -- Kekerapan gangguan bekalan air, harga tanah perindustrian yang tinggi dan kekurangan bakat antara cabaran dihadapi kerajaan negeri untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai Lembah Silikon Timur. 

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata bagi sektor ekonomi digital, kekangan atau cabaran yang dihadapi termasuk kekurangan pejabat gred A atau bangunan MSC Cybercenter yang mampu menampung permintaan tinggi pelabur serta persaingan dalam penawaran insentif oleh negeri dan negara lain.

"Namun, kerajaan negeri bersama-sama kerajaan Persekutuan dan agensi-agensi sentiasa bekerjasama dalam memastikan cabaran yang dihadapi dapat diatasi sepenuhnya.

"Ini adalah bagi memastikan Pulau Pinang menjadi pilihan utama pelabur tempatan dan antarabangsa," katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini hari ini.

Chow menjawab soalan Lee Khai Loon (PH-Machang Bubuk) yang bertanya mengenai cabaran dan usaha kerajaan negeri untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai Lembah Silikon Timur. 

Beliau berkata antara syarikat perusahaan yang dilawati semasa misi pelaburan Ketua Menteri ke Amerika Syarikat (AS) termasuk Agilent Technologies, AMD Inc, Brooks Instrument, Centific, Coherent Inc, Cohu Inc, Dexcom Inc dan TTM Technologies.

Kerajaan negeri giat memperkukuh hubungan dengan ibu pejabat korporat pelabur termasuk di AS yang telah memilih Pulau Pinang sebagai lokasi pelaburan mereka. 

Baru-baru ini delegasi kerajaan negeri mengadakan lawatan ke syarikat-syarikat berkenaan bertujuan mempromosi Pulau Pinang sebagai lokasi pilihan untuk elektrik dan elektronik, semikonduktor, peranti perubatan, GBS dan sebagainya.

"Industri dan ekosistem yang kukuh antara faktor utama yang menarik pelaburan langsung asing dan pelaburan domestik ke Pulau Pinang," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan