WILAYAH - SARAWAK > BERITA

COP29: PENGKATEGORIAN SYARIKAT BAHAN API FOSIL SEBAGAI "PELOBI" TIDAK TEPAT - NRES

22/11/2024 03:49 PM

BAKU (Azerbaijan), 22 Nov (Bernama) -- Pengkategorian syarikat bahan api fosil sebagai "pelobi bahan api fosil" oleh sebuah badan pemerhati alam sekitar adalah tidak tepat, demikian menurut Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES).

Syarikat bahan api fosil yang dikategorikan itu ialah Tenaga Nasional Bhd, Yinson, Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), Petroliam Nasional Bhd (Petronas), Malaysia Petroleum Resources Corporation (MPRC) dan Sarawak Energy Bhd (SEB).

Menurut NRES, Petronas telah memberi komitmen kepada usaha untuk mencapai sifar bersih menjelang 2050 dengan melabur dalam perniagaan perniagaan baharu yang melibatkan tenaga boleh diperbaharui  dan rendah karbon. 

Sementara itu, penglibatan TNB sebagai sebuah syarikat elektrik multinasional yang berpusat di Malaysia pula memainkan peranan utama dalam Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), satu komponen utama dalam strategi sifar bersih negara menjelang 2050.

"Kedua-dua TNB dan PETRONAS (melalui Gentari) juga terlibat dalam pelaburan besar berkaitan tenaga boleh diperbaharui di seluruh dunia. Oleh itu, pengkategorian mereka sebagai 'pelobi bahan api fosil'  adalah tidak tepat," menurut kenyataan itu di sini hari ini.

NRES juga menjelaskan bahawa kehadiran kedua-dua syarikat berkenaan ke Persidangan Pihak-Pihak ke-29 (COP29) di bawah Konvensyen Kerangka Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim diwakili oleh bahagian pembangunan lestari syarikat berkenaan.

"Oleh itu, isu seperti kehadiran atau dakwaan ketiadaan organisasi tertentu dalam delegasi Malaysia di COP29 tidak boleh dianggap sebagai sokongan kepada mana-mana agenda yang melebihi matlamat iklim negara yang telah diketahui umum dan dinyatakan secara meluas," menurut NRES

Secara umum ia tidak mengenakan sebarang sekatan terhadap penyertaan mana-mana entiti yang berwibawa untuk ke COP kerana Malaysia mengamalkan pendekatan "whole-of-nation" dalam menangani isu perubahan iklim. 

"Semua syarikat yang diwakili ini juga terlibat dalam pelaksanaan dasar kerajaan, terutamanya NETR, dan lain-lain dasar yang menyumbang kepada usaha mencapai sasaran iklim yang ditetapkan negara. 

"Adalah penting untuk tiada sektor dalam negara kita dikecualikan daripada penyertaan atau tanggungjawab dalam perjuangan menentang perubahan iklim termasuk sektor swasta," menurut kenyataan itu.

NRES memaklumkan bahawa Malaysia telah mengumumkan komitmennya kepada Konsensus UAE untuk beralih daripada bahan api fosil. 

"Kerajaan tahun ini juga telah komited kepada sasaran sifar bersih yang lebih bercita-cita tinggi iaitu menjelang 2050. Pada masa yang sama, kerajaan juga berpendirian bahawa proses peralihan ini mesti dijalankan dengan adil dan saksama dan bukan hanya menghukum negara-negara membangun," menurut kenyatan itu.

NRES juga menjelaskan bahawa delegasi korporat itu tidak terlibat dalam rundingan yang melibatkan ahli-ahli persidangan itu - yang hanya melibatkan negara-negara berdaulat. 

"Hanya delegasi yang relevan daripada kerajaan Malaysia bersama para perunding sahaja yang diberikan pas. Semasa COP29, pasukan perunding Malaysia telah diberikan mandat yang mengambil kira pendirian pihak awam, swasta dan organisasi masyarakat sivil (CSO)," menurut kenyataan itu.

Selain itu, NRES juga telah berunding rapat dengan Panel Penasihat dan Perunding Perubahan Iklim yang terdiri daripada sektor swasta dan masyarakat sivil sebelum COP29 bagi membincangkan pendirian Malaysia di persidangan berkenaan.

Ia juga (NRES) membidas dakwaan bahawa tiada sebarang wakil daripada CSO yang diketuai oleh masyarakat orang Asli atau CSO yang memberi tumpuan kepada hal ehwal Sabah dan Sarawak yang diberikan pas limpahan (overflow badge) untuk menghadiri persidangan itu.

Kebanyakan delegasi yang memegang pas Party Overflow Badges itu terlibat dalam program di bawah Malaysia Pavilion yang merangkumi sejumlah 45 sesi selama dua minggu. 

"Pihak Sekretariat telah memberikan pas kepada delegasi yang relevan sahaja berdasarkan tema perundingan yang telah diberikan mandat oleh kerajaan. NRES sentiasa menawarkan pas kepada ahli masyarakat sivil dan individu yang berminat untuk menghadiri COP," menurut NRES. 

Semakan awal pihak Sekretariat mendapati hanya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM); C40 Cities Climate Leadership Group; Malaysian Youth Delegation; Energy Action Partners; Global Environment Centre (GEC); Sahabat Alam Malaysia (ALAM), Youths United For Earth (YUFE), and Yayasan Hasanah yang membuat permohonan. 

"Harus diingatkan bahawa pendaftaran untuk pas limpahan yang diberikan kepada individu atau mana-mana entiti berdasarkan konsep 'first come, first serve' mengikut tarikh yang telah ditetapkan oleh UNFCCC. Pada masa yang sama, terdapat juga had kepada jumlah delegasi yang ditetapkan oleh penganjur," menurut kenyataan itu.

Perkara-perkara yang dibangkitkan oleh badan pemerhati RimbaWatch dan entiti-entiti lain diambil maklum dan akan terus memperbaik segala proses yang relevan menjelang COP30 di Belem, Brazil kelak.

Pada 20 Nov lepas, badan pemerhati itu dilaporkan berkata Malaysia telah menghantar 151 delegasi yang mewakili kepentingan perniagaan iaitu 44 ialah wakil syarikat mempunyai pelaburan signifikan dalam pengembangan bahan api fosil atau sebahagian daripada badan-badan perdagangan yang mewakili kepentingan bahan api fosil, dan menjadikan mereka kumpulan terbesar dalam delegasi korporat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan