WILAYAH - SARAWAK > BERITA

2TM: KKM PROMOSI AKTIVITI FIZIKAL GUNA BASIKAL SENAMAN, PERMAINAN VR TINJU

22/11/2024 03:56 PM

KUALA LUMPUR, 22 Nov (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) sedang gigih mempromosi aktiviti fizikal menggunakan basikal senaman dan permainan interaktif realiti maya (VR) tinju di reruai utama kementerian itu pada Program Dua Tahun Kerajaan MADANI (2TM) yang bermula hari ini.

Pegawai Pendidikan Kesihatan Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya Mohd Akram Ahmad Sabri berkata ini adalah selari dengan inisiatif kementerian bagi menjayakan Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) dalam mempromosi pembudayaan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.

"Kita di KKM memberi pendedahan mengenai pembudayaan hidup sihat dalam kalangan pengunjung kerana kita tahu dalam masyarakat Malaysia ini, kadar keaktifan fizikal sangat rendah, lebih cenderung kepada gaya hidup sedentary. Jadi kita ingin lebih mempromosikan supaya rakyat Malaysia lebih aktif.

"Seterusnya kita ada Tanita Body Composition Analyser, iaitu alat untuk menganalisis peratusan lemak badan dan juga lemak visceral dalam badan, dengan alat ini, kita dapat mengetahui tahap kesihatan badan seseorang, pengunjung boleh mengetahui tahap kesihatan mereka dengan lebih jelas," katanya ketika ditemui di sini hari ini. 

Beliau berkata dengan maklumat itu, pegawai kesihatan bertugas boleh memberi nasihat yang sesuai seperti memberi cadangan untuk mengawal pemakanan dan meningkatkan aktiviti fizikal.

Selain itu Mohd Akram berkata KKM turut menawarkan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan yang menyeluruh secara percuma antaranya saringan kesihatan PeKa B40, pemeriksaan gigi, perkhidmatan oftalmologi (pemeriksaan mata), penilaian tahap kecergasan, pemeriksaan kolestrol, kandungan glukosa dalam darah dan tekanan darah.

Sementara itu pengunjung Amiruddin Adnan, 67, berkata inisiatif kementerian menawarkan perkhidmatan saringan kesihatan secara percuma memberikan pendedahan dan kesedaran kepada orang ramai. 

"Kebanyakan orang biasanya pandang ringan isu kesihatan, bila sudah sakit baru sedar tapi dah terlewat. Dengan adanya pemeriksaan ini, bolehlah kita pantau tahap kesihatan, gula (dalam darah) dan tekanan darah dan ambil langkah berjaga-jaga," katanya. 

Seorang pengunjung Haslinah Nasir, 46, berkata pendekatan KKM di reruai utamanya sangat menarik dan mudah difahami serta diaplikasikan dalam kehidupan seharian. 

Beliau berkata cadangan untuk mengawal pemakanan dan meningkatkan aktiviti fizikal yang diberikan oleh pegawai kesihatan sangat membantu dalam usaha untuk mengubah gaya hidup menjadi lebih sihat. 

Program 2TM dengan tema "MADANI di Hati, Rakyat Disantuni" yang berlangsung dari 9 pagi hingga 6 petang, sepanjang tiga hari sehingga Ahad menawarkan pelbagai perkhidmatan daripada kementerian, agensi serta jabatan kerajaan kepada rakyat. 

Selain pameran perkhidmatan daripada kementerian terlibat, pelbagai aktiviti dan tawaran menarik menanti orang ramai antaranya reruai usahawan serta Jualan Rahmah MADANI.

-- BERNAMA 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan