WILAYAH - SARAWAK > BERITA

FFM BERPOTENSI DIANGKAT SEBAGAI FESTIVAL FILEM BERTARAF ANTARABANGSA - FAHMI

22/11/2024 11:34 PM

KUALA LUMPUR, 22 Nov (Bernama) -- Festival Filem Malaysia (FFM) mempunyai potensi untuk diangkat sebagai festival filem nasional bertaraf antarabangsa, iaitu platform pelancongan sinema yang berpengaruh dan hab jaringan berpusat. 

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata FFM juga setanding Festival Filem Antarabangsa lain seperti yang diadakan di Singapura, Cannes, Locarno, Jogja-NETPAC, Busan, Goa dan Tokyo yang mampu menjana banyak sokongan penajaan, pelaburan, pembiayaan dan dikomersialkan dengan kerjasama pihak swasta di peringkat domestik dan antarabangsa.

“Untuk jangka panjang, FFM juga berpotensi meraih akreditasi dan pengiktirafan daripada badan-badan antarabangsa seperti Academy of Motion Picture Arts and Sciences (AMPAS) sebagai satu daripada 181 Oscars-Qualifying Festivals; International Federation of Film Producers Associations (FIAPF) ataupun Network for the Promotion of Asia Pacific Cinema (NETPAC),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan Malam Perasmian Festival Filem Malaysia ke-33 (FFM33) di Studio Sound Stage, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), hari ini. 

Pada sidang media selepas itu, Fahmi berkata beliau juga akan mengadakan perbincangan dengan pihak FINAS untuk meneliti langkah dan tindakan yang perlu diambil bagi memastikan usaha mengangkat FFM di peringkat antarabangsa dapat direalisasikan.

Terdahulu dalam ucapan, Fahmi berkata kerajaan sentiasa menyokong pembangunan industri kreatif dan budaya sebagai satu daripada sektor ekonomi negara yang berimpak tinggi.

Beliau berkata sokongan padu kerajaan menerusi Kementerian Komunikasi dan FINAS dalam penganjuran FFM33 membuktikan kepentingan festival filem ini sebagai platform pengiktirafan di peringkat nasional dalam meraikan kecemerlangan filem, produksi dan bakat- bakat industri yang berkualiti tinggi.

Menurut Fahmi, tema Evolusi Sinema Malaysia atau EMAS yang dipilih untuk FFM33 amat bertepatan dengan aspirasi dan hala tuju untuk memacu industri perfileman yang berdaya saing, berimpak tinggi dan bertaraf global.

“Industri perfileman negara yang kini telah mencecah 91 tahun sejak tayangan filem Melayu pertama, Leila Majnun di Singapura pada tahun 1933, tentunya telah melalui fasa evolusi yang dinamik dan progresif, meliputi aspek penerbitan; pengedaran dan pemameran filem.

“Evolusi EMAS ini adalah tafsiran nilai ekonomi kreatif dan budaya berimpak tinggi bagi filem-filem beridentiti Malaysia, di mana filem karya tempatan terkenal dengan kekuatan bahasa, budaya, cerita bangsa, landskapnya,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Infrastruktur Telekomunikasi) Kementerian Komunikasi Mano Verabathran: Pengerusi FINAS Datuk Kamil Othman; Ketua Pegawai Eksekutif FINAS Datuk Azmir Saifuddin Mutalib; Ketua Pengarah Penyiaran Datuk Suhaimi Sulaiman dan Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Arul Rajoo Durar Raj.

FFM33 menerima sebanyak 104 penyertaan dengan 95 pencalonan layak bertanding, merangkumi 64 filem cereka, 20 filem pendek dan 11 filem dokumentari.

Malam Anugerah FFM33 dijadual berlangsung pada 7 Dis ini, pada pukul 9 malam di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri Kota Media, dan akan turut disiarkan secara langsung di TV2 serta saluran YouTube FINAS.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan