WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KESEDARAN MENGENAI KEGANASAN TERHADAP WANITA MENINGKAT - NANCY

24/11/2024 06:20 PM

PUTRAJAYA, 23 Nov (Bernama) -- Peningkatan kes keganasan terhadap wanita menunjukkan wujudnya kesedaran lebih tinggi dalam kalangan mangsa untuk tampil membuat laporan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata walaupun angka ini mungkin tidak mencerminkan keseluruhan situasi sebenar, ia membuktikan bahawa wanita kini semakin berani untuk mendapatkan bantuan.

“Memang kes-kes yang dilaporkan meningkat, tetapi itu hanya bagi mereka (wanita) yang berani tampil. Mungkin sebelum ini kes sudah banyak berlaku, tetapi tidak dilaporkan. Ini bermakna kesedaran sudah ada dan kita mahu ia terus diperkukuh,” katanya kepada media selepas melancarkan program Larian Oren sempena Hari Menangani Keganasan Terhadap Wanita 2024 di sini, hari ini.

Program bertemakan “Unite To End Violence Against Women” itu bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai isu keganasan rumah tangga dan menggalakkan solidariti semua pihak untuk menanganinya.

Nancy turut berkongsi rasa bangga dengan sambutan luar biasa terhadap program berkenaan yang menarik 3,800 peserta melebihi sasaran awal 3,000 orang.

“Kehadiran hari ini sangat memberangsangkan, termasuk ramai lelaki yang turut hadir. Ini menunjukkan kesedaran tidak hanya terhad kepada wanita tetapi juga masyarakat secara keseluruhan,” katanya.

Beliau menyeru wanita yang menjadi mangsa untuk berani membuat laporan sama ada kepada polis atau Tribunal Anti Gangguan Seksual bagi memastikan tindakan segera dapat diambil.

“Wanita-wanita yang terkesan, yang mungkin selama ini tidak tahu saluran bantuan, kini boleh menggunakan Talian Kasih di nombor 15999 atau WhatsApp 019-2615999. Kita mahu mereka sedar bahawa mereka tidak bersendirian dan ada pihak yang sedia membantu,” katanya.

Seorang jurutera perancangan, Salihah Yusof, 27, berkata ramai mangsa takut untuk bersuara kerana bimbang akan dibalas dengan lebih teruk oleh pasangan mereka.

“Kadang-kadang, isteri takut nak mengadu, sama ada kepada jiran atau sesiapa saja, kerana risau suami akan memukul mereka lebih teruk. Ada juga kes di mana bukan isteri yang jadi mangsa, tetapi anak-anak. Ibu ini selalunya akan cuba melindungi anak mereka,” katanya.

Beliau menambah bahawa program seperti Larian Oren mampu meningkatkan kesedaran masyarakat dan memberi ruang kepada wanita untuk menyuarakan hak mereka.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan