WILAYAH - SARAWAK > BERITA

11,010 GRADUAN TERIMA IJAZAH PADA KONVOKESYEN UKM KE-52

24/11/2024 10:40 AM

KUALA LUMPUR, 24 Nov (Bernama) -- Seramai 11,010 graduan akan menerima ijazah masing-masing pada Majlis Konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ke-52, yang berlangsung dari semalam hingga 1 Dis depan.

Majlis yang diadakan di Dewan Canselor Tun Abdul Razak di Bangi, Selangor ini melibatkan 15 sidang dan meraikan 4,409 graduan Ijazah Sarjana Muda, 2,549 graduan Ijazah Sarjana, 469  Doktor Falsafah, 3,393 penerima Diploma Pascasiswazah, serta 190 penerima ijazah Doktor Pakar.

Naib Canselor UKM Prof. Datuk Dr. Mohd Ekhwan Toriman, dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa rangkaian alumni UKM kini telah mencapai seramai 240,462 orang sejak penubuhan universiti itu.

“Majlis konvokesyen kali ini dimulakan dengan pengisytiharan pembukaan yang disempurnakan oleh Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, yang juga Canselor UKM,” katanya.

Selain itu, katanya konvokesyen kali ini menyaksikan graduan sulung dua program Diploma Pascasiswazah, iaitu Program Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI) yang melibatkan 3,227 graduan dan Program Diploma Pascasiswazah Embriologi Klinikal (PDEK).

Menurutnya, program DPLI yang dimulakan sejak 2022 kini telah memasuki kohort kelima. Program ini dijalankan secara fleksibel, melibatkan pembelajaran dalam talian dan fizikal, serta diadakan semasa cuti sekolah.

Sementara itu, PDEK yang diperkenalkan pada tahun lalu merupakan satu-satunya program seumpamanya di Malaysia yang menawarkan latihan formal dan berstruktur kepada Pegawai Embriologi.

“Program PDEK diwujudkan susulan peningkatan permintaan pasangan suami isteri untuk rawatan persenyawaan in-vitro (IVF) yang kian bertambah setiap tahun,” ujarnya.

Sementara itu, Mohd Ekhwan berkata majlis konvokesyen kali ini turut menyaksikan penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah kepada Ketua Pegawai Eksekutif Regional Group Company Qatar Sheikh Abdul Rahman Khalifa Abdul Aziz Al-Thani, yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah UKM Qatar.

Presiden Dewan Negara dan Speaker Dewan Perwakilan Thailand Wan Muhamad Noor Matha, turut menerima anugerah yang sama.

Selain itu, tiga tokoh akademik UKM  iaitu Dr. Rahmah Ismail, Dr. R. Wickneswari, dan Datuk Dr. Wan Ramli Wan Daud, dianugerahkan gelaran Profesor Emeritus sebagai pengiktirafan atas sumbangan mereka dalam bidang kepakaran masing-masing.

Majlis ini turut meraikan penerima dua Anugerah Pelajaran Diraja dan enam penerima anugerah utama universiti yang lain.

Mohd Ekhwan berkata bagi memeriahkan konvokesyen, Karnival Konvokesyen diadakan di Dataran Panggung Seni, sepenuhnya diuruskan oleh mahasiswa UKM sebagai sebahagian daripada agenda Pemerkasaan Mahasiswa.

“Selain mengasah potensi keusahawanan dalam kalangan pelajar, karnival ini juga menjadi sebahagian usaha penjanaan pendapatan dan agenda utama universiti yang melibatkan kerjasama semua pihak,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan