WILAYAH - SARAWAK > BERITA

TERLEBIH KONGSI DI MEDIA SOSIAL, PENGGUNA TERDEDAH ANCAMAN KESELAMATAN

24/11/2024 03:44 PM

KUALA LUMPUR, 24 Nov (Bernama) -- Tindakan oversharing atau terlebih kongsi di media sosial mendedahkan pengguna kepada ancaman keselamatan termasuk kecurian identiti, hendap siber dan kecurian harta benda. 

Pengarah II Jabatan Pusat Keselamatan Komunikasi Bahagian Pengurusan Platform Kandungan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) Nur Amanina Che Azemi berkata pengguna perlu berhati-hati dalam berkongsi di media sosial. 

Antara maklumat yang tidak perlu dikongsi di media sosial termasuk alamat rumah, kad pengenalan, nombor telefon, lokasi pergerakan dan gambar anak. 

“Pengguna media sosial perlu fikir, nilai dan kaji maklumat sebelum berkongsi di media sosial dan tidak mendedahkan maklumat peribadi.

“Meletakkan ketetapan privasi (private) di akaun media sosial dan memadamkan maklumat peribadi, mengemas kini senarai kenalan dengan memadam orang tidak dikenali supaya mereka tidak dapat melihat perkongsian peribadi,” katanya.

Nur Amanina  berkata demikian semasa sesi Pocket Talk MCMC: Klik dengan Bijak sempena Program Dua Tahun Kerajaan MADANI (2TM) dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam Tahun 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini. 

Antara faktor yang boleh menyebabkan pengguna media sosial terlebih kongsi, menurut beliau ialah terlalu beremosi semasa meluahkan kecewa atau melepaskan tekanan, atau mahu mendapatkan perhatian pengguna media sosial lain. 

Mengenai buli siber, Nur Amanina menasihatkan mangsa melaporkan insiden itu kepada pihak berkaitan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan MCMC selain menghubungi Talian Kasih KPWKM 15999 dan Talian Befrienders bagi mendapatkan khidmat nasihat.

Beliau berkata ancaman siber juga boleh dilaporkan kepada Pusat Bantuan Cyber999 di talian 1-300-88-2999 dan menerusi aplikasi Cyber999 kendalian CyberSecurity di bawah Kementerian Digital. 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan