WILAYAH - SARAWAK > BERITA

TIADA BALAK DALAM KAWASAN KILANG KLINKER, SIMEN DI TONGOD - MASIUNG

24/11/2024 04:09 PM

TONGOD, 24 Nov (Bernama) -- Pengerusi Borneo Cement (Sabah) Sdn Bhd (BCS) Datuk Masiung Banah menjelaskan tiada balak dalam kawasan bukit batu kapur seperti dicadangkan untuk kilang klinker dan simen di Kampung Kayawoi, dekat sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri Kuamut itu berkata walaupun pada awalnya terdapat sisa kayu balak di kawasan rendah, tetapi aktiviti pembalakan telah berlaku sejak beberapa tahun lepas sebelum kilang berkenaan dicadangkan.

"Dakwaan syarikat itu turut melakukan pembalakan semasa menjalankan kerja-kerja tanah bagi membina laluan ke tapak kuari kilang tersebut adalah tidak benar," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau yang telah melawat kerja-kerja fasa pertama di antara lokasi tapak kuari BCS di Kampung Susui, dekat sini, berkata hampir keseluruhan jajaran bukit batu kapur di kawasan itu yang dilesenkan oleh Penilaian Kesan Kepada Alam Sekililing (EIA) kurang ditumbuhi kayu kayan.

Masiung berkata kerja-kerja fasa pertama yang kini telah dilesenkan oleh EIA merangkumi pembinaan tapak kuari, kerja tanah dan membina jalan ke lokasi padat dengan lapisan batu kapur.

"Kami tidak akan melanggar tatakelola disyaratkan oleh EIA. Lagipun setiap inci kerja kami dipantau sepenuhnya oleh Jabatan Alam Sekitar," katanya.

Cadangan pembinaan kilang itu, dengan pelaburan RM1.2 bilion adalah hasil usaha sama kerajaan Sabah, Sri Alam Setia Sdn Bhd yang menubuhkan BCS dan Sinoma Industry Bhd syarikat pengeluar simen terbesar China.

Sebanyak 202.3 hektar kawasan klinker diwartakan kepada Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah untuk projek tersebut dan 80.9 hektar lagi diberikan kepada BCS untuk tapak kuari, kilang pejabat dan kuaters pekerja.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan