WILAYAH - TENGAH > BERITA

BERITA-BERITA RINGKAS DEWAN RAKYAT: 25 NOV

25/11/2024 02:01 PM

KPKT SALUR RM46.1 JUTA KEPADA 422 RIBI DI SELURUH NEGARA

KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah meluluskan penyaluran peruntukan kepada 422 Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) di seluruh negara melibatkan peruntukan RM46.1 juta, setakat 30 Sept lepas.

Timbalan Menteri berkenaan Datuk Aiman Athirah Sabu berkata Kerajaan MADANI melalui Belanjawan 2025 memperuntukkan sejumlah RM50 juta lagi untuk meneruskan inisiatif RIBI.

“KPKT menyasarkan 200 RIBI untuk menerima sumbangan penyaluran peruntukan dengan jumlah maksimum RM250,000 bagi setiap RIBI. Sasaran 200 RIBI ini akan bertambah sekiranya jumlah yang dimohon tidak melebihi had maksimum ditetapkan,” katanya.

Beliau menjawab soalan Mordi Bimol (PH-Mas Gading) mengenai jumlah yang telah dibelanjakan bagi program RIBI pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

-- BERNAMA

 

KESUMA RANCANG GUBAL AKTA BAHARU NAIK TARAF ILP

KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) merancang menggubal akta baharu berkaitan Institut Latihan Perindustrian (ILP) dalam usaha mengubah serta menaik taraf institusi pendidikan itu.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata perancangan itu selari dengan saranan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk meningkatkan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di negara ini.

"Kita rancang untuk buat satu perubahan mungkin melibatkan akta baharu daripada ILP, seperti kepada nama yang lebih sesuai kerana dari segi kursus, kita telah membawa peningkatan lebih baik sekarang ini,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) sama ada KESUMA akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk mengiktiraf ILP sebagai kolej universiti atau universiti.

-- BERNAMA

 

TALIAN HEAL TERIMA LEBIH 68,000 PANGGILAN SEJAK DIWUJUDKAN

KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) menerima 68,502 panggilan menerusi Talian Bantuan Krisis Kesihatan Mental atau Talian HEAL 15555 sejak ia diwujudkan.

Timbalan Menteri berkenaan Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata daripada jumlah itu, sebanyak 42,415 atau 62 peratus telah menerima bantuan sokongan.

Selain itu, beliau berkata 140 individu dikenal pasti melakukan cubaan untuk membunuh diri dengan kesemua mereka telah dapat diselamatkan.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota) berhubung usaha KKM memperluas bantuan khidmat kaunseling melalui bantuan psikososial mengambil kira peningkatan kes bunuh diri, pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

-- BERNAMA

 

ATM KEKAL OPERASI POS KESELAMATAN SEDIA ADA DI SEMPADAN MALAYSIA–THAILAND

KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan mengekalkan operasi di pos keselamatan di sepanjang sempadan Malaysia–Thailand yang sedia ada buat masa ini, kata Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari.

Beliau berkata ketika ini, terdapat 11 pos keselamatan Tentera Darat Malaysia di sepanjang sempadan Malaysia–Thailand yang meliputi jarak 84.5 kilometer.

"Kementerian Pertahanan melalui ATM sentiasa memantau dan menganalisis ancaman semasa dalam mempertimbangkan penambahan pos-pos keselamatan dan berdasarkan kepada analisis ancaman buat masa ini, ATM akan kekal operasi di pos keselamatan sedia ada," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) yang ingin tahu usaha kerajaan menambah bilangan pos statik dan anggota keselamatan negara di sepanjang Sungai Golok untuk mengawal keselamatan sempadan negara.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan