WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MARITIM MALAYSIA RANCANG PEROLEHAN RADAR BAHARU

25/11/2024 05:11 PM

PUTRAJAYA, 25 Nov (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia)  merancang untuk memperoleh radar baharu yang akan ditempatkan di kawasan strategik seperti di kawasan perairan Sarawak dan pantai timur Semenanjung.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia Laksamana Muda Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata penempatan radar berkenaan akan memperluaskan liputan pengawasan selain meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan.

“Radar baharu ini akan disepadukan dengan teknologi kecerdasan buatan (AI) di bawah sistem Malaysia Coast Guard Maritime Domain Awareness (MCGMDA) yang mampu menganalisis data dengan lebih komprehensif dan responsif.

“Gabungan teknologi ini diyakini dapat memperkukuh keselamatan serta memastikan keberkesanan penguatkuasaan di perairan Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Rosli turut berharap agar usaha yang dilaksanakan agensi itu mendapat sokongan penuh daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam memastikan pelaksanaan penggunaan teknologi itu dapat diaplikasikan dengan berkesan.

“Penerapan teknologi AI bukan sahaja relevan tetapi juga menjadi keperluan strategik untuk menghadapi cabaran keselamatan maritim pada masa hadapan,” katanya menambah ia juga dapat mengoptimumkan sumber manusia dan aset sedia ada, selain memastikan kawalan yang lebih efisien di perairan negara.

Beliau berkata Maritim Malaysia turut menyambut baik saranan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang menggesa setiap jabatan dan agensi di bawah kementeriannya menggunakan AI dalam pengoperasian masing-masing bagi meningkatkan mutu perkhidmatan, seperti yang dinyatakan ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan KDN pagi ini.

Mohd Rosli berkata Maritim Malaysia sentiasa proaktif dalam meneroka penggunaan teknologi moden seperti AI sebagai langkah strategik dalam memperkukuh pengawasan keselamatan perairan negara.

“Penggunaan dron atau bot autonomi yang dikawal melalui teknologi AI misalnya, dilihat mampu menjalankan rondaan automatik di kawasan yang luas, mengesan aktiviti mencurigakan dan menganalisis data masa nyata untuk tindakan pantas,” kata Mohd Rosli.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan