WILAYAH - SARAWAK > BERITA

POLIS KUTIP LEBIH RM9 JUTA SAMAN TRAFIK TERTUNGGAK SEPANJANG PROGRAM 2TM

25/11/2024 05:55 PM

KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya mengutip saman trafik tertunggak berjumlah lebih RM9 juta dalam tempoh tiga hari penganjuran Program Dua Tahun Kerajaan MADANI (2TM) yang berlangsung dari Jumaat hingga semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata jumlah kutipan berkenaan melibatkan penyelesaian sebanyak 103,590 saman trafik tertunggak.

“Bagi tempoh tiga hari bermula 22 hingga 24 Nov, sebanyak 103,590 saman telah dijelaskan berjumlah RM9,139,750.00 melalui saluran bayaran saman yang telah disediakan antaranya kaunter PDRM secara tunai dan e-payment melalui baucar yang diselesaikan melalui portal dan aplikasi MyBayar PDRM," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Mohd Yusri berkata JSPT tidak menetapkan sebarang kutipan, namun amat berbangga dengan sambutan luar biasa daripada 32,500 individu yang hadir untuk melangsaikan saman mereka.

Beliau berkata jumlah kutipan saman bukan keutamaan JSPT, sebaliknya yang lebih membanggakan ialah kesedaran orang ramai yang semakin tinggi untuk menyelesaikan saman masing-masing. 

Mohd Yusri berkata kesemua saman yang diselesaikan merangkumi pelbagai kesalahan, seperti memandu melebihi had laju, melanggar isyarat lalu lintas serta menghalang laluan trafik yang merekodkan jumlah saman tertinggi.

"JSPT menghargai kerjasama orang ramai yang hadir dalam menyelesaikan saman tertunggak bersempena dengan 2TM. Kami juga menyeru orang ramai agar tidak menunggu sehingga tawaran diskaun diumumkan untuk menjelaskan saman mereka," katanya. 

Mohd Yusri berkata JSPT dalam peringkat kajian untuk memperluas program pengurangan saman di seluruh negara secara tanpa tunai dengan memanfaatkan aplikasi MyBayar PDRM, di samping meningkatkan jumlah pengguna berdaftar aplikasi berkenaan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan