WILAYAH - SARAWAK > BERITA

JOHOR NEGERI TERBAHARU FATWAKAN GISBH SESAT, MENYELEWENG

25/11/2024 06:16 PM

BATU PAHAT, 25 Nov (Bernama) -- Johor menjadi negeri terbaharu memfatwakan ajaran, pegangan dan fahaman GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) sebagai sesat selaras ketetapan Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI).

Mufti Johor Datuk Yahya Ahmad berkata keputusan ini dicapai setelah mendapati gerakan GISBH sememangnya bercanggah dengan ajaran dan menyeleweng daripada akidah Islam.

Beliau berkata keputusan pengharaman itu sudah dipersembahkan kepada Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail dan kini dalam peringkat pewartaan sekali gus membolehkan proses penguatkuasaan dapat dilakukan dalam masa terdekat.

“Masyarakat perlu diberi penerangan supaya tidak terlibat ajaran ini dan kita adakan kerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi memantau ajaran ini yang dikhuatiri disebarkan dalam talian,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Pendidikan Fatwa Negeri Johor di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), di sini hari ini.

Sementara itu, Yahya memberikan peringatan fatwa pengharaman ajaran Qadiani yang dikeluarkan pada 1960-an masih berkuat kuasa, berikutan adanya cubaan menghidupkan semula ajaran itu baru-baru ini dan kerajaan negeri akan memastikan kedua-dua fahaman berkenaan dibendung daripada terus berkembang.

“Ajaran Qadiani yang diasaskan Mirza Ghulam Ahmad dari India adalah menyeleweng dan bercanggah dengan ajaran Islam…ditetapkan melalui fatwa terhadap ajaran ini, orang Islam dalam negeri Johor yang mempercayai atau mengikutinya boleh menyebabkan terkeluar daripada Islam.

“Selepas ini, mana-mana mereka yang terbabit dengan fahaman ini kita akan ambil tindakan berdasarkan peruntukan undang-undang,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan