WILAYAH - SELATAN > BERITA

PROGRAM DAYA KERJAYA 2.0 BANTU GOLONGAN MUDAH TERJEJAS

25/11/2024 06:32 PM

ISKANDAR PUTERI, 25 Nov (Bernama) -- Program Daya Kerjaya 2.0 yang dilaksanakan Kementerian Sumber Manusia menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) memberi harapan kepada golongan mudah terjejas yang disasarkan, seperti bekas banduan, Orang Kurang Upaya (OKU), pesara dan warga emas.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor Lee Ting Han berkata program penempatan pekerjaan kepada golongan mudah terjejas berkenaan menawarkan pekerjaan dan gaji nilai yang lebih tinggi.

“Berdasarkan statistik PERKESO dari tempoh Januari hingga 8 Nov lepas, sebanyak 836 warga emas di negeri ini mendapat pekerjaan di bawah program itu.

“Ia melibatkan sebanyak 541 majikan dengan pengesyoran jumlah bayaran insentif sebanyak RM4.5 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Rashidah Ramli (BN-Parit Raja) sama ada PERKESO membuat kajian dan bercadang memperluas dasar agar orang berinsurans yang berusia 60 hingga 65 tahun dapat menerima manfaat caruman.

Dalam pada itu, Lee berkata pihak majikan pula akan diberikan insentif khas sebanyak RM1,500 sebulan selama enam bulan bagi mereka yang mengambil pekerja daripada kumpulan sasar ini. 

Mengulas lanjut, beliau berkata kementerian dan PERKESO menyedari bahawa Malaysia dijangka menjadi negara yang semakin tua menjelang 2030 apabila 15.3 peratus daripada penduduk negara akan berumur 60 tahun dan ke atas.

Justeru, katanya kementerian sedang meneliti pemerkasaan sistem perlindungan sosial kepada semua golongan pekerja khususnya sektor swasta dan bekerja sendiri daripada sebarang krisis selepas persaraan akibat ketidakcukupan wang simpanan apabila mencapai umur persaraan melalui kerangka Dasar Sumber Manusia 2025-2030.

“Oleh itu, kementerian dan PERKESO melalui kerajaan negeri turut berkolaborasi dalam memastikan golongan rentan termasuk pesara dan warga emas masih menjadi keutamaan sumber tenaga negara yang aktif.

“Program Daya Kerjaya 2.0 itu diwujudkan bagi membolehkan golongan sasar terlibat mendapatkan pekerjaan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan