WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MONSUN TIMUR LAUT: FAMA EDAR 60,000 KIT BANTUAN MAKANAN KE SELURUH NEGARA

26/11/2024 01:15 PM

KUALA SELANGOR, 26 Nov (Bernama) -- Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan mengedarkan sebanyak 60,000 kit bantuan makanan kepada mangsa dan petugas bencana seluruh negara bagi fasa pertama pelaksanaan inisiatif Kit Bantuan Makanan Bencana dalam menghadapi Monsun Timur Laut (MTL).  

Pengerusi FAMA Aminuddin Zulkipli berkata setakat ini, pihaknya telah mengedarkan 49,550 kit bantuan makanan berkenaan, yang meliputi 34,550 kit bantuan makanan bagi mangsa dan 15,000 unit makanan sedia dimakan untuk petugas bencana. 

Beliau berkata inisiatif yang dilaksanakan dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) itu bagi memastikan kebajikan mangsa bencana terjaga di samping menyokong dasar kerajaan berhubung keterjaminan makanan.

“Kita tumpukan di negeri yang berisiko tinggi iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang dengan pengagihan di peringkat negeri-negeri akan diselaraskan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di daerah yang terkesan.

“Fasa seterusnya, kita bergantung kepada data yang akan disediakan NADMA dan data-data lepas tentang kemungkinan bencana. Kita tunggu arahan NADMA, kemudian kita akan laksanakan, FAMA sentiasa bersedia,” katanya selepas Majlis Pelepasan Pengedaran Kit Bantuan Makanan Bencana bagi MTL 2024/2025 di sini hari ini.

Aminuddin berkata FAMA juga bercadang menambah baik kit bantuan makanan yang terdiri daripada 12 jenis produk, termasuk pek makanan retort dengan memasukkan risalah berhubung nasihat keselamatan kepada mangsa bencana.

Sementara itu, Aminuddin berkata FAMA juga dalam keadaan siap siaga bagi memastikan kebajikan pengeluar pertanian terjaga berikutan fenomena MTL yang dijangka berakhir Mac tahun hadapan. 

“Buat masa ini, kita mengenal pasti kawasan-kawasan berisiko dan kita juga ada kerjasama dengan Lembaga Pertubuhan Peladang di setiap negeri, kemudian kita juga bersedia dengan outlet-outlet kita seperti pasar tani kekal, kita bersedia di situ. 

“Sekarang, kita sedang berkomunikasi dengan semua pengeluar, untuk kita mengetahui keadaan mereka, dan FAMA sentiasa bersedia,” katanya.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan