PUTRAJAYA, 26 Nov (Bernama) -- Festival Idea Putrajaya (Putrajaya FOI) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini bermula esok hingga Jumaat menyasarkan kehadiran lebih 250,000 pengunjung.
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata Karnival Kerjaya MADANI yang diadakan sempena festival itu turut menawarkan 10,000 peluang pekerjaan kepada pencari kerja daripada pelbagai peringkat.
“Jadi saya ingin menjemput orang ramai khususnya mereka dalam kalangan anak muda di universiti, politeknik dan kolej komuniti untuk hadir ke festival ini.
“… bawa dokumen-dokumen penting kerana temu duga akan diadakan terus sempena Festival Idea ini,” katanya kepada pemberita selepas meninjau persediaan Putrajaya FOI di sini hari ini.
Putrajaya FOI yang julung kali diadakan itu menghimpunkan lebih 80 pemimpin, pakar bidang, ahli akademik dan industri dalam pentas forum dan sidang selari menerusi Sidang Idea Malaysia (MyIDEAS).
Antara tetamu kehormat dan panel atau moderator dijadualkan hadir adalah Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh, Ketua Pegawai Eksekutif Capital A Tan Sri Tony Fernandes dan Pengerusi Ikhlas Capital Tan Sri Nazir Tun Razak.
Sesi Putrajaya FOI Talk dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut diadakan bersama dua panel lain bagi membincangkan mengenai ‘Idea Anak Muda Malaysia’ sekali gus beliau dijadual merasmikan program itu pada Khamis ini.
Sultan Perak Sultan Nazrin Shah turut berkenan menyampaikan Titah Diraja di Putrajaya FOI pada Jumaat.
Sebelum ini, Zambry berkata Putrajaya FOI akan menjadi titik permulaan kepada acara tahunan yang mengukuhkan imej Malaysia sebagai negara berasaskan pengetahuan dan inovasi, sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial